[VIDEO] Gatal kacau wanita tepi jalan di Skudai, 2 mat romeo tak pakai helmet sudah kena cekup


  • Tular
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Dua individu lelaki yang didakwa mengganggu penunggang wanita di Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru, Johor telah ditahan polis.

TINDAKAN dua lelaki mat romeo yang mengganggu wanita ketika menunggang motosikal di Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru, Johor pada Rabu mengundang padah apabila kedua-duanya kini dilaporkan sudah dicekup polis.

Dalam sebuah video yang tular di laman Facebook sejak Sabtu, rakaman itu memaparkan perbuatan kedua individu terbabit yang didakwa mengganggu dua wanita yang turut berada di laluan berkenaan, selain tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar.

Mengekori rapat dari arah belakang sehingga ke hadapan motosikal ditunggang mangsa, tindakan itu nyata mengundang ketakutan buat wanita berkenaan yang dilihat seperti mahu melarikan diri ketika kejadian.

Namun, insiden itu dihentikan oleh seorang penunggang motosikal lelaki yang turut berada di lokasi sama apabila dilihat menengking sambil meleraikan situasi tersebut.

Menerima lebih 10,000 jumlah tontonan di Facebook, video berkenaan hangat diperkatakan warganet dan turut menerima perhatian pihak polis.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kedua-dua suspek lelaki berusia 20-an tersebut sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Seorang lelaki warga tempatan bersama pembonceng yang tidak memakai topi keledar telah mengganggu individu perempuan yang sedang menaiki motosikal di laluan tersebut.

"Perkara itu menyebabkan mangsa berasa takut dan trauma disebabkan gangguan berkenaan.

"Suspek telah berjaya dikesan dan ditahan di balai polis trafik untuk tindakan selanjutnya, namun tiada kegiatan jenayah dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

pa

Dua lelaki warga tempatan ditahan polis susulan video tular di laman media baru-baru ini. — Facebook/Polis Johor Bahru Selatan

Walau bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan fizikal kepada semua pihak yang terlibat.

Pada masa sama, ujar beliau, saman Pol 257 telah dikeluarkan terhadap dua individu berkenaan atas kesalahan menunggang tanpa lesen memandu yang sah dan tidak memakai topi keledar semasa membonceng motosikal.

Kedua-dua suspek dirujuk ke bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram