Kajian sistem gaji penjawat awam hampir lengkap — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Rabu, 24 Jan 2024

Fahmi Fadzil menjelaskan kajian mengenai sistem gaji awam yang baharu sedang disiapkan. — The Star

KAJIAN mengenai sistem gaji kakitangan awam sedang disiapkan manakala proses pelantikan kontrak bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam masih dalam perbincangan, kata Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, penjelasan terperinci akan dikeluarkan tidak lama lagi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung perkara tersebut.

“Maklumat hendaklah datang daripada jabatan atau ketua pengarah. Ini penting supaya tidak menimbulkan kebimbangan dan salah faham tentang maksud sistem itu,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan tidak berhasrat mahu tutup platform media sosial — Fahmi Fadzil

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat pekeliling berkata, sistem kontrak perkhidmatan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari.

Beliau berkata, undang-undang itu masih dipinda bagi membolehkan kaedah baharu pengambilan perkhidmatan awam diwujudkan.

Tambahnya, sebaik kaedah pengambilan baharu itu dilaksanakan, ia dijangka mampu mengurangkan beban fiskal negara.

BACA LAGI: Wakil bila PM tak hadir, Fahmi Fadzil dilantik jurucakap kerajaan

“Kerajaan menerusi mesyuarat kabinet pada 12 Julai 2023 memutuskan untuk memperkenalkan kaedah baharu pelantikan tetap penjawat awam.

“Kabinet bersetuju bahawa sepanjang tempoh penguatkuasaan kaedah baharu dibuat, pengambilan penjawat awam ke jawatan tetap akan dilaksanakan melalui sistem kontrak perkhidmatan (COS) berkuat kuasa mulai 2024,” katanya dalam pekeliling tersebut.

Katanya, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan liabiliti pencen.

Wan Ahmad Dahlan berkata, pelantikan kontrak ini akan dijalankan di bawah peraturan semasa, pekeliling perkhidmatan dan prosedur yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), yang diasingkan di bawah UP.1.1.1 Tatacara dan Polisi Pelantikan Kontrak (Kontrak Perkhidmatan). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram