Sabak Bernam gempar penemuan mayat tanpa identiti dalam parit, kes kedua lepas tragedi remaja bakar kekasih


  • 112
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Seorang mayat lelaki ditemukan dalam parit di Jalan Tali Air 11 Pasir Panjang Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor pada Khamis. — Ihsan PDRM

POLIS menemukan seorang mayat lelaki tanpa identiti dalam parit di Jalan Tali Air 11 Pasir Panjang Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pada pukul 12.55 tengah hari.

Katanya, sepasukan polis dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi penemuan mayat tersebut.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen diri dijumpai dan sebarang unsur pergelutan jenayah dikesan di lokasi penemuan mayat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Agus Salim memberitahu, keadaan mayat juga telah mula mereput dan dipercayai lebih dari tiga hingga empat hari meninggal dunia sebelum dijumpai.

"Parit tersebut merupakan sistem saliran air yang membekalkan sumber air ke kawasan penanaman sawah padi di Pasir Panjang.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Patut ada bau lain macam', orang awam jumpa mayat dalam Bezza di Damansara

"Semasa mayat ditemui, air parit tersebut dalam keadaan surut," katanya.

Sehubungan itu, polis turut mengambil keterangan beberapa saksi awam yang tinggal berhampiran tempat kejadian dan tiada maklumat berkenaan sebarang pergerakan mencurigakan di lokasi penemuan mayat.

"Menurut saksi juga, air di dalam parit tempat mayat dijumpai penuh sejak tiga hingga empat hari sebelum ini kerana cuaca hujan," ujar Agus Salim.

Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dijalankan proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

BACA LAGI: [VIDEO] Mayat tinggal tulang, tengkorak ditemukan dalam longkang depan sekolah di Jalan Kebun

Beliau dalam pada masa sama menggesa agar mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga tampil bagi membantu siasatan.

Untuk rekod, insiden terbabit bukan kejadian kali pertama berlaku apabila seorang mayat tanpa identiti ditemui rentung tepi kebun kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau pada Mei tahun lalu.

Kejadian terbabit disedari orang awam yang ternampak asap di dalam semak ketika melalui kawasan berhampiran kira-kira pukul 7 pagi.

2205348

Mayat tanpa identiti ditemui terbakar di tepi kebun kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar pada Mei tahun lalu. — Ihsan PDRM

Hasil siasatan polis mendapati, insiden itu merupakan kes pembunuhan membabitkan seorang wanita berusia 21 tahun yang dibakar suspek dipercayai ingin merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit.

Suspek dan mangsa dikatakan adalah pasangan kekasih yang sudah menjalin hubungan selama setahun dan mangsa dipercayai hamil empat bulan.

Namun, belum ada sebarang maklumat lanjut berhubung kes di Jalan Tali Air 11 Pasir Panjang setakat ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32245963 atau terus hubungi Ketua Polis Balai Sekinchan, Asisten Superintendan Iek Ren Chong di talian 019-2825748. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram