Akaun Fleksibel KWSP bakal diperkenal, pencarum boleh akses dana bila-bila masa


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu itu yang boleh diakses pencarum pada bila-bila masa. — Gambar hiasan

KERAJAAN akan melaksanakan penstrukturan semula terhadap akaun ahli pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memperkasa simpanan persaraan kumpulan tersebut.

Untuk tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, antara langkah akan diambil adalah dengan memperkenalkan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan menerusi KWSP akan terus menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Antara langkah bakal diambil termasuk meningkatkan had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP kepada RM500 setahun yang terhad kepada RM5,000 seumur hidup.

Selain itu, beliau berkata, had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Suri KWSP juga ditingkatkan kepada RM300 setahun, terhad kepada RM3,000 seumur hidup.

"Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah juga akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah wanita yang berdaftar di bawah eKasih," ujarnya.

Pada masa sama, Anwar memaklumkan program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 393.8 bilion dengan RM 303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang menjadi induk kepada dasar-dasar diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Tiga tumpuan utama Belanjawan 2024 adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram