AS siasat sumber kilang palam pintu tertulis 'Made In Malaysia' tercabut dari pesawat Alaska Airlines


  • Massa
  • Khamis, 18 Jan 2024

Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS mengesahkan palam pintu pesawat Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut baru-baru ini merupakan buatan Malaysia.

PALAM pintu pesawat Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut semasa penerbangan Alaska Airlines baru-baru ini disahkan telah dikilangkan di Malaysia.

Menurut Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jennifer Homendy, syarikat Spirit AeroSystems menghasilkan palam pintu itu di Malaysia sebelum diangkut ke kilang pembekal Boeing di Wichita, Kansas, AS dan akhirnya dibawa ke kilang pembuat pesawat 737 di Renton, Washington, AS.

Memetik laporan media antarabangsa Wall Street Journal, insiden kerosakan itu dikatakan boleh berlaku di pelbagai peringkat dan pihak penyiasatan akan menjalankan kaji selidik berkaitan kualiti proses pemasangan, pengangkutan serta pengeluaran palam pintu tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Susulan jawapan menteri lepas kontroversi pintu pesawat tercabut, ramai percaya 'Made In Malaysia' tetap berkualiti

8de1713184b13577468ce4debbae1ea5

Keadaan pesawat Boeing BA 737 MAX 9 selepas palam pintunya tercabut semasa penerbangan Alaska Airlines baru-baru ini. — Agensi

“Kami tidak mempunyai petunjuk buat masa sekarang dan ia boleh berlaku di pelbagai peringkat," katanya selepas menghadiri taklimat tertutup bersama ahli Jawatankuasa Perdagangan Senat AS.

Beberapa senator yang menghadiri taklimat itu berkata, pesawat berkenaan mungkin tidak dibenarkan melakukan penerbangan sementara siasatan diteruskan.

Difahamkan, palam pintu pada pesawat Boeing 737 Max 9 itu berfungsi untuk menutup pintu keluar kecemasan yang tidak digunakan dan hanya akan dibuka semasa proses penyelenggaraan.

Untuk rekod, pada 5 Januari lalu, palam pintu sebuah pesawat yang berkhidmat dengan syarikat Penerbangan 1282 Alaska Airlines dilaporkan tercabut ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland, AS.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan pesawat itu berjaya melakukan pendaratan cemas dengan selamat.

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah teknikal dipercayai punca 2 pesawat Tentera Udara Indonesia terhempas

Namun, paling mencuri tumpuan apabila palam pintu itu dilihat mempunyai tulisan tangan serta nota 'Buatan Malaysia' di sebelah nombor siri bahagian pintu tersebut.

Susulan kejadian itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

“Mengenai hal itu kami tidak mendapat maklumat dan saya tidak boleh komen. Ia bukan di bawah bidang kuasa saya untuk siasat dan saya hanya boleh memberikan ulasan umum.

"Kita tidak tahu sama ada ia benar atau tidak dan kami dapati ia merupakan laporan yang dibuat oleh pemerhati.

"Sekiranya ada laporan rasmi daripada syarikat penerbangan tersebut, kami akan menelitinya dan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram