'Bagai tiada noktah', soalan bocor, Sis Madu! antara isu terpalit peperiksaan negara


  • Massa
  • Khamis, 18 Jan 2024

Pelajar sekolah antara golongan yang terkesan setiap kali peperiksaan negara dilanda isu. — Gambar hiasan

SUDAH menjadi kelaziman buat seluruh pelajar di Malaysia untuk menduduki peperiksaan bagi menilai prestasi dan keupayaan individu sebelum meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) merupakan antara dua jenis peperiksaan penting yang perlu diduduki pelajar.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peperiksaan di Malaysia kerap berdepan dengan pelbagai isu serta kemelut dalaman yang menjejaskan pelaksanaan ujian bagi golongan pelajar sekolah.

Ia sekali gus menjejaskan segala persiapan pelajar apabila terpaksa berdepan situasi penangguhan jadual, pembubaran mata pelajaran dan pengulangan kertas soalan akibat kecuaian pihak berwajib yang gagal memastikan proses peperiksaan berjalan lancar.

Berikut merupakan empat kes kontroversi yang pernah mencetuskan kekecohan dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.

1. Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) SPM 2022 guna khidmat TikTokers

Kecoh apabila Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 didakwa menggunakan khidmat TikTokers sebagai pelontar suara audio.

Ia susulan tekanan dihadapi ribuan calon SPM selepas gagal memahami dengan jelas audio UMBI dalam peperiksanaan tersebut yang didakwa menggunakan khidmat pempengaruh TikTok.

BACA LAGI: Tak bertindih subjek Bahasa Arab, Jakim umum tarikh baharu ujian KAFA Sirah

umbi

Tangkap layar pengakuan seorang wanita menggunakan akaun Sis Madu! yang mengaku sebagai pemilik memegang dan melontarkan audio suara sebagai watak Mariam dalam UMBI SPM2022.

Situasi lebih parah apabila seorang wanita menggunakan akaun Sis Madu! di TikTok mengaku sebagai pemilik memegang watak Mariam menerusi audio ujian tersebut.

Pengakuan itu dibuat selepas dia ditanya oleh salah seorang pengguna yang dipercayai pelajar SPM yang mengecam suaranya.

Namun, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa pelontar suara digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM itu terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

2. Soalan Sejarah Kertas 2 SPM 2020 bocor

Soalan peperiksaan SPM 2020 didakwa bocor melibatkan topik Kertas 2 subjek Sejarah.

Topik bagi soalan kertas berkenaan dikatakan tersebar di aplikasi WhatsApp sebelum calon menduduki peperiksaan subjek berkenaan pukul 10 pagi kejadian.

Antara topik bocor yang difahamkan tersebar adalah tajuk berkaitan 'Penentangan di Perak', 'Maritim' dan 'Wawasan 2020'.

Situasi bertambah kecoh apabila pelajar dikatakan perlu menduduki semula ujian Sejarah kertas 2 akibat soalan bocor tersebut.

soalan-spm-bocor-2

Antara keluhan pelajar dan wakil ibu bapa berhubung isu soalan bocor di aplikasi Whatsapp.

Namun, calon peperiksaan itu dilaporkan tidak perlu mengulangi kertas Sejarah tersebut dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) difahamkan telah meningkatkan kualiti keselamatan bagi tahun berikutnya.

BACA LAGI: Guna Tiktokers, audio Ujian Mendengar BI SPM didakwa tak berkualiti, ribuan pelajar, guru stres persiapan terjejas

3. Gred pemarkahan SPM 2023 diturunkan

KPM menolak dakwaan pihaknya menurunkan purata gred peperiksaan bagi SPM untuk mencantikkan peratusan di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan perkara itu adalah spekulasi kerana kementeriannya mempunyai standard tertentu bagi pemarkahan peperiksaan berkenaan.

Jelasnya, KPM berlaku adil dalam pemarkahan dan sentiasas mengikut merit serta standard yang digunakan selama ini.

Isu itu berbangkit selepas tular di laman media mengenai analisis pemarkahan SPM yang mula mendapat pertikaian ramai terhadap sistem digunakan kementerian.

Segelintir ibu bapa mendakwa ketika peperiksaan besar dilaksanakan di negara ini, terdapat pelbagai pihak cuba memaparkan sekolah terbaik dan pelajar cemerlang walaupun sebenarnya terdapat 'permainan' menurunkan graf peperiksaan berlaku.

4. Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) (UPKK) 2023 ditangguhkan

Terbaharu, CALON Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) (UPKK) dikejutkan dengan pembatalan bagi kertas subjek Sirah yang terpaksa ditangguhkan ke 23 Januari (Selasa) depan ekoran isu teknikal yang berlaku.

Ujian itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Selasa ini, difahamkan telah berlaku sedikit kesulitan yang sekali gus memaksa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangguhkan subjek tersebut.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dalam satu kenyataannya memaklumkan penangguhan ujian bagi kertas Sirah UPKK03/01 itu atas sebab isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, penangguhan itu menerima tentangan ramai pihak khususnya ibu bapa pelajar yang memohon agar tarikh peperiksaan itu dilangsungkan pada 24 Januari (Rabu) kerana berlaku penindihan subjek pada hari yang ditetapkan Jakim.

Akur dengan aduan dari ibu bapa calon-calon UPKK, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar menerusi kenyataannya mengumumkan penangguhan tarikh bagi ujian subjek Sirah akan berlangsung pada pada 24 Januari 2024 (Rabu). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram