[VIDEO] Masalah teknikal dipercayai punca 2 pesawat Tentera Udara Indonesia terhempas


  • Benua
  • Khamis, 16 Nov 2023

Tangkap layar sebuah pesawat Tentera Udara Indonesia terhempas di Desa Keduwung, Kecamatan Puspo, Kabupaten Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia pada Khamis.

DUA buah pesawat milik Tentera Udara Indonesia dilaporkan terhempas di Desa Keduwung, Kecamatan Puspo, Kabupaten Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia pada Khamis.

Berdasarkan maklumat awal diterima, polis Indonesia mengesahkan bahawa sebuah pesawat sudah berjaya ditemui manakala sebuah lagi masih belum diketahui kedudukannya.

Laporan media tempatan menjelaskan, jumlah mangsa terkorban dan tercedera masih belum diketahui setakat ini.

"Sebarang kematian ataupun kecederaan tidak dapat dipastikan dan jumlah anak kapal di dalam pesawat juga masih dalam siasatan," lapor wartawan Indonesia.

Dalam pada itu, menurut maklumat umum, kejadian itu dipercayai berpunca akibat masalah teknikal ataupun kesilapan jurutera pesawat terbabit.

"Orang ramai mengesyaki pesawat itu terbang rendah kerana mengalami masalah teknikal ataupun kecuaian kru kerana cuaca agak cerah ketika kejadian.

"Jadi ia sepatutnya tidak mendatangkan bahaya kepada pesawat berkenaan," katanya.

Difahamkan, Angkatan Tentera Udara Indonesia kini sedang bergerak ke lokasi kejadian dan melakukan sisatan.

Permukaan tanah di lokasi kejadian dikatakan agak curam dan berkemungkinan akan mengambil masa yang agak lama untuk operasi mencari dan menyelamat dilakukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram