CABARAN skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia bakal dimulakan dengan aksi pertama peringkat kumpulan menentang Jordan pada 16 Januari 2024.
Meskipun skuad 'The Chivalrous Ones' berada di ranking yang jauh lebih baik di tangga 87 dunia, barisan pemain Kim Pan-gon pada kempen kali ini dilihat sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal bagi berdepan cabaran getir di peringkat Asia.
Jika diimbas secara rambang, keputusan atas kertas jelas menunjukkan Malaysia seolah-olah tiada peluang untuk memenangi perlawanan tersebut susulan taraf serta kualiti pemain Jordan yang dikatakan lebih baik berbanding pemain tempatan.
Namun, segalanya masih terlalu awal untuk dijangkakan dengan Malaysia juga bakal membuat perhitungan dengan dua lagi pasukan iaitu Korea Selatan dan Bahrain.
Jordan turun selaku reputasi pasukan kedua terkuat di belakang Korea Selatan dalam kumpulan E Piala Asia 2023. — Instagram/Jordan.FA
Penyokong rata-ratanya menyasarkan Malaysia mampu menduduki kedudukan kedua terbaik kumpulan sekali gus melangkah ke pusingan 16 terbaik kelak.
Namun, peminat bola sepak tempatan sudah mula membuat bayangan dan ramalan berhubung keputusan Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan di mana pasukan Bahrain dijangka mampu menjadi medan terbaik buat skuad negara mencuri tiga mata penuh jika kecundang di tangan Jordan.
Berikut merupakan tiga jaminan utama skuad Harimau Malaya mampu menang menentang pasukan di ranking ke 91 dunia itu.
1. Tewas persahabatan menentang pasukan ke-117 dunia
Aksi perlawanan pemanas badan terakhir jaguh Timur Tengah itu sebelum memulakan kempen Piala Asia dilihat kurang bernasib baik apabila diaibkan oleh pasukan yang berada di ranking ke-117 dunia iaitu Angola.
Bahrain tewas 0-3 kepada pasukan Angola yang berada di ranking ke-117 dunia. — Instagram/Bahrain.FA
Tewas 0-3 dalam pertemuan tersebut, skuad yang terkenal dengan jolokan 'Dilmun Warriors' itu kini dikatakan sedang dalam momentum yang kurang baik susulan kekalahan demi kekalahan dialaminya.
Statistik perlawanan itu yang menyaksikan Angola berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan, menyaksikan Bahrain gagal mengutip sebarang gol dan buntu dalam menghasilkan serangan ke arah gawang lawan.
2. Tonggak pertahanan Ahmed Bughammar tarik diri di saat akhir
Pemain pertahanan Al-Khaldiya, Ahmed Bughammar terpaksa menarik diri daripada skuad Bahrain akibat kecederaan.
Menurut laporan portal berita 'News of Bahrain', pemain itu mengalami kecederaan belakang yang agak serius sekali gus memaksanya untuk menarik diri daripada panggilan skuad negaranya di Piala Asia.
Bahrain terpaksa melupakan tonggak pertahanan utama Ahmed Bughammar dalam aksi Piala Asia 2023. — Agensi
Statistik Transfermarkt menyaksikan Bughammar telah berjaya merekodkan sebanyak 21 penampilan antarabangsa dan satu gol bersama Bahrain.
Ketiadaannya ketika perlawanan persahabatan menentang Australia sebelum ini juga dikatakan antara punca kekalahan pasukannya yang sedikit pincang di benteng pertahanan.
3. Tewas aksi pemanas badan 0-2 kepada Australia
Satu lagi perlawanan pra persahabatan dihadapi Bahrain, turut menyaksikan keputusan negatif apabila tewas di tangan pasukan Australia yang berada di ranking ke-25 dunia.
Bahrain yang beraksi di gelanggang sendiri, tewas hasil kesilapan pemain pertahanannya, Amine Mohamad Hassan yang tertampan bola ke gawang sendiri dan jaringan dari penyerang lawan, kelab lawan, Mitchell Duke.
Tamat perlawanan, Australia berjaya menewaskan Bahrain 2-0 sebagai persediaan menghadapi cabaran India, Syria dan Uzbekistan kelak.
Justeru, kekalahan serta situasi dialami pasukan Bahrain dalam persediaan ke Piala Asia kali ini dilihat jauh lebih buruk berbanding skuad kebangsaan yang tampil dengan cerita berbeza.
Nescaya, tiga mata penuh dijamin mampu diperoleh anak-anak buah Kim Pan-gon ke atas Bahrain dengan perlawanan tumpuan ketika ini semestinya untuk melepasi cabaran pertama menentang Jordan pada Selasa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram