ISU mengenai kemungkinan pertukaran kerajaan terus menjadi berita utama politik negara meskipun selepas lebih setahun pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, perbincangan mengenai perkara tersebut menjadi lebih panas susulan pendedahan mengenai kewujudan komplot menukar kerajaan yang dinamakan sebagai Langkah Dubai pada akhir tahun lalu.
Konspirasi tersebut didakwa digerakkan Perikatan Nasional (PN) bersama beberapa individu berpengaruh di dalam negara itu.
Pada masa sama, di pihak pembangkang, mereka terus memainkan sentimen kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan termasuk melalui pengumpulan surat akuan bersumpah (SD).
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataannya pada 7 Januari lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Langkah Dubai hanya 'diversion' - Wan Fayhsal
Malah, beliau mendakwa pembangkang sudah memiliki jumlah SD yang mencukupi dan hanya menunggu masa.
Bagaimanapun, kesahihan mengenai kedua-dua komplot terbaharu yang cuba untuk menukar kerajaan seperti yang dilaporkan berlaku itu masih tidak dapat dipastikan.
Situasi itu dilihat menjadikan kerajaan pimpinan Anwar terus dihantui dengan bayangan kemungkinan berlakunya pertukaran kepimpinan negara.
Perkara ini sekiranya dibiarkan pastinya memberikan kesan langsung terhadap pentadbiran negara khususnya dalam perancangan dan pelaksanaan dasar.
Sehubungan itu, terdapat pemerhati politik mencadangkan bahawa pelaksanaan usul undi percaya atau tidak percaya adalah kaedah terbaik bagi membuktikan keabsahan Perdana Menteri dan seterusnya menghentikan desas-desus mengenai pertukaran kerajaan.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula 26 Februari dengan pembukaan rasmi dijangka disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, Majoriti menemu bual beberapa ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung cadangan berkenaan.
MP Kerajaan cabar pembangkang segera hantar usul tidak percaya
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berpandangan bahawa usaha untuk membuktikan keabsahan Perdana Menteri bukanlah terletak di bahu kerajaan.
Ini kerana menurutnya, di pihak kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah yakin dengan majoriti yang dimiliki.
"Jadi kerajaan tak perlu bentang usul undi percaya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
"Tetapi jika pihak pembangkang percaya PM tidak ada majoriti mudah 112 sokongan MP di Parlimen maka tanggungjawab adalah di pihak pembangkang untuk kemukakan usul undi tidak percaya terhadap PM Anwar Ibrahim di bawah Perkara Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Majoriti.
Selepas lebih setahun mentadbir negata, Anwar yang memimpin Kerajaan Perpaduan terus dihantui dengan isu kemungkinan wujudnya usaha bagi menjatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri.
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh Langkah Dubai, Puad Zarkashi cadang J-KOM dirombak sepenuhnya
Untuk tujuan tersebut, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pembangkang sepatutnya sudah boleh mula menghantar usul tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat.
"Parlimen akan mula bersidang bagi 2024 ini pada Isnin 26 Februari dengan majlis pembukaan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong. Usul undi tidak percaya itu boleh dibentangkan pada keesokannya iaitu Selasa.
"Tempoh memfailkan usul kepada Speaker Dewan Rakyat lazimnya perlu sekurang-kurangnya 14 hari. Jadi usul boleh difailkan sekarang jika pihak pembangkang serius nak bentang usul tidak percaya itu," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Syahredzan Johan berkata, pembangkang sepatutnya segera memohon untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar sekiranya benar-benar yakin Perdana Menteri ketika ini sudah hilang sokongan.
Ujarnya, ia bagi memberi peluang kepada mereka untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak dilakukan kerana beliau percaya dakwaan Perikatan Nasional yang mengatakan Perdana Menteri sudah hilang sokongan hanyalah cerita dongeng.
"Saya percaya tiada pun Akuan Sumpah (SD) yang diuar-uarkan oleh pembangkang ini. Kalau betul Perdana Menteri sudah hilang sokongan, tidaklah Belanjawan 2024 dapat diluluskan tanpa undi belah bagi.
"Kalau betul PM sudah hilang sokongan, hari ini juga boleh masuk usul undi tidak percaya dan mohon sidang Parlimen tergempar. Sama ada dibenarkan atau tidak itu hal lain," ujar Syahredzan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, Parlimen adalah platform terbaik sekiranya pembangkang mahu membuktikan bahawa Perdana Menteri sudah hilang sokongan.
Malah, beliau berkata, pertukaran kerajaan melalui langkah mengemukakan usul undi tidak percaya itu juga dilihat lebih baik berbanding kaedah seperti pengumpulan surat akuan bersumpah (SD).
"Kalau betul untuk tukar kerajaan itulah sepatutnya yang paling absah di sisi undang-undang iaitu melalui usul undi tidak percaya.
"Bukan dengan cara kumpul SD, kemudian cuba nak pergi jumpa Agong. Ini hanya menimbulkan keresahan rakyat sebab dia berbentuk spekulasi dan sentimen semata-mata.
"Ia tidak baik untuk kestabilan negara dan pelabur luar pun risau kalau hal ini berterusan," ujar Azli yang merupakan Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Ahli Parlimen pembangkang ambil pendekatan tunggu dan lihat
Sementara itu, di pihak pembangkang, Majoriti dimaklumkan setakat ini masih belum wujud cadangan untuk menghantar usul undi tidak Percaya terhadap Anwar pada persidangan akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung keperluan menghantar usul berkenaan.
"Kita tidak ada apa-apa cadangan lagi (hantar usul undi tidak percaya). Saya tidak boleh bagi komen dalam isu ni. Kita tunggu dan lihat sahaja," ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS ketika dihubungi Majoriti.
Blok pembangkang ketika ini difahamkan masih belum memulakan sebarang usaha bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika persidangan Parlimen Februari depan.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli Parlimen daripada PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menganggap bahawa desakan untuk pembangkang bagi menghantar usul percaya di Parlimen hanya sebagai muslihat daripada ahli Parlimen kerajaan.
Malah beliau secara sinis turut menyifatkan langkah tersebut adalah seperti sengaja digerakkan khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen PKR yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar.
"YB Pasir Gudang (Hassan Karim) memberi cadangan bagaimana untuk menukar Perdana Menteri. Saya faham dalam kalangan MP PKR pun sudah lama ada yang tak berpuas hati dengan kualiti kepimpinan Anwar.
"Apa tidaknya, Anwar gagal teruk melaksanakan semua janji-janji reformasi. Jadi tak pelik jika MP PKR sendiri beriya-iya mencadangkan jalan menukar Anwar.
"Cuma saya fahamlah bahawa dia terpaksa kaitkan PN dalam hal ini walaupun itu sebenarnya idea dia. Sebab kalau dia akui bahawa dia sendiri memang mahu tolak Anwar, nanti dia kena tindakan pula," ujar Wan Saiful yang mengulas mengenai kenyataan Hassan.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu turut meminta ahli Parlimen kerajaan supaya tidak terlalu sibuk dengan urusan di pihak pembangkang.
"Jadi MP kerajaan tak payah nak nasihatkan kami dalam PN. Kamu cermin diri kamu dulu kerana disebabkan kamu tak habis-habis mengampu Anwar lah rakyat negara kita semakin susah," ujarnya.
Dalam kenyataan yang dikongsikan itu, Wan Saiful bagaimanapun menyatakan secara langsung sama ada wujudnya usaha daripada pembangkang untuk menghantar usul undi tidak percaya di Parlimen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram