[VIDEO] Langkah Dubai hanya 'diversion' - Wan Fayhsal


  • Politik
  • Ahad, 31 Dis 2023

Wan Ahmad yang lancang bersuara membidas dakwaan langkah Dubai yang dibangkitkan oleh J-KOM baru-baru ini. — Bernama

HEBOH di media sosial tentang satu dakwaan langkah Dubai yang dibangkitkan oleh Jabatan Komunikasi (J-KOM) dikatakan muncul bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop sebelum ini dilaporkan mendakwa, langkah tersebut timbul ketika pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk pemimpin kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Ismail turut dilaporkan mendakwa bahawa langkah Dubai itu melibatkan sokongan tokoh politik berpangkat Tun yang bekerjasama dengan pihak pembangkang dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk meruntuhkan pentadbiran kerajaan.

Namun, dakwaan tersebut tangkas dibidas dan ditepis oleh Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa ia hanyalah rekaan cerita dongeng untuk menutup kegagalan Kerajaan Madani.

msg1050426791-21384

Langkah Dubai yang dikatakan muncul untuk menggulingkan pentadbiran Anwar Ibrahim. — Gambar hiasan/Bernama

Menerusi video yang dimuat naik di media sosialnya, Wan Ahmad mendakwa, pihak kerajaan tidak sepatutnya membangkitkan perihal di luar konteks negara, sebaliknya fokus dengan masalah rakyat.

Katanya, dakwaan sebelum ini muncul hanya untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan yang menimbulkan pelbagai isu sekali gus menjadi keresahan seluruh rakyat Malaysia.

“Heboh dikatakan mengenai Langkah Dubai yang tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di Malaysia, sedangkan kita tahu hujung tahun ramai ahli Parlimen sibuk bertugas untuk membantu rakyat berdepan masalah banjir.

“Saya nampak ia langkah terdesak kerajaan hari ini dilihat gagal menguruskan rasa bimbang dan curiga rakyat.

“Semua ini menimbulkan keresahan rakyat, sebaliknya mereka menggunakan J-KOM untuk menyerang pembangkang yang rajin dan gigih bekerja walaupun tanpa sebarang peruntukan,” katanya.

Pada masa sama, Wan Ahmad turut menyentuh tentang penarikan subsidi diesel dan cukai untuk barangan harga rendah antara isu yang menjadi kebimbangan rakyat.

msg1050426791-21383

Tangkap layar video penjelasan Wan Ahmad berhubung isu langkah Dubai yang kecoh diperkatakan baru-baru ini.

Namun, katanya, kerajaan yang ditadbirkan oleh Anwar menggunakan J-KOM untuk menyerang pihak pembangkang kerana tidak tahu menguruskan persepsi tentang kegagalan Kerajaan Perpaduan itu.

Tambahnya, perkara tersebut bukan sahaja sudah mencipta persepsi jahat, sebaliknya telah melaga-lagakan rakyat termasuk istana dan parti politik.

Bukan itu sahaja, Wan Ahmad sempat memberi nasihat bahawa rakyat tidak perlu terpedaya dengan dakwaan tersebut kerana menganggapnya sebagai satu permainan politik.

“Jadi rakyat dan orang awam jangan termakan dengan permainan politik ini.

“Tok abah J-KOM tidak perlu menggelupur untuk menjadi balaci kepada pemimpin kamu,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram