Tebuk tapi tak jadi-jadi, ini senarai tarikh kononnya kerajaan akan beralih sejak PH+BN menang PRU15


  • Politik
  • Rabu, 10 Jan 2024

Pelbagai dakwaan dan usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan selepas kemenangan gabungan PH dan BN. — Gambar hiasan

DUNIA politik Malaysia yang sememangnya tidak pernah lekang dengan pelbagai konflik pastinya menjadi warna dalam sejarah negara.

Dakwaan menjatuhkan pentadbiran sesama sendiri dalam kalangan ahli politik bagaikan bukan suatu perkara mengejutkan bagi rakyat.

Walaupun ia sudah mula sejak zaman pemerintahan sebelum Datuk Seri Najib Razak lagi, usaha untuk menjatuhkan kerajaan nampaknya semakin berlarutan sehingga pentadbiran kini yang dipegang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelbagai dakwaan dan konspirasi dilontarkan terutamanya selepas kemenangan Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 berpihak kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

BACA LAGI : Anwar Ibrahim mulakan hari pertama sebagai PM sebenar

Justeru, Majoriti menyenaraikan tarikh yang didakwa kononnya berlaku pertukaran kerajaan selepas kemenangan tersebut:

1. Disember 2022

msg1050426791-22049

Anwar (kanan) yang baru menggalaskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri selepas PRU15. — Twitter/Anwar

Tidak lama selepas gabungan PH dan BN menang dalam PRU15 sekali gus mengambil alih Kerajaan Perpaduan, timbulnya dakwaan bahawa kerajaan tidak kukuh dan akan tumbang pada bila-bila masa.

Ada juga dakwaan mengatakan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak wajar kerana tidak berpuas hati apabila beberapa individu yang dilantik sebagai menteri ketika itu mempunyai rekod di mahkamah.

Ia susulan dakwaan Bersatu yang mengatakan pengundi Anwar berasa kecewa kerana terdapat individu terkait kluster mahkamah dilantik sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada waktu itu.

Bukan itu sahaja, ia disokong juga oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan.

Ummu sebelum ini dilaporkan berkata, pembentukan kabinet pada ketika itu tidak sejajar dengan mesej dan harapan yang sering diutarakan Anwar.

Ia dikatakan berpunca daripada pemilihan barisan kabinet yang masih mengutamakan kedudukan dan hierarki pemimpin dalam parti walaupun masih ada pertuduhan di mahkamah.

Susulan itu, ada yang mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan akan beralih pada 30 Disember 2022 namun tidak berlaku sebarang perubahan.

BACA LAGI : Strategi tarik sokongan ahli Parlimen boleh makan tuan, pakar buka kelemahan Akta Lompat Parti

2. Sepanjang 2023

msg1050426791-22048

PH yang sebelum ini pernah dikatakan wajar diberi peluang mentadbir Malaysia kerana memenangi majoriti kerusi Parlimen pada PRU15.

Walaupun sudah memasuki tahun baharu, konflik politik Malaysia masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Hampir setiap bulan dalam tahun itu, munculnya pelbagai dakwaan yang sering kali didengar mengatakan Kerajaan Perpaduan akan bertukar.

Pada awal Januari 2023, pihak pembangkang dilihat semakin galak membuat spekulasi bahawa Kerajaan Perpaduan akan tumbang pada Februari 2023.

Desas-desus yang tular di media sosial sejak Januari itu juga berlarutan sehingga Disember 2023 dan lebih hangat apabila bermula atau selepas pilihan raya seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pada masa sama, wujud pula beberapa gerakan yang disifatkan sebagai langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

BACA LAGI : Perhimpunan besar-besaran tumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak benar — Polis

msg1050426791-22047

Langkah London muncul dikatakan antara usaha menggulingkan Kerajaan Perpaduan. — Gambar hiasan

Contohnya, pada Januari 2023, Rakyat Malaysia digemparkan dengan 'Langkah London'.

Langkah London ketika itu dikatakan melibatkan beberapa pemimpin Umno sebagai langkan menjatuhkan kerajaan.

Langkah tersebut mula menjadi topik perbualan selepas seorang penulis blog mendakwa dua Naib Presiden Umno ketika itu iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai Presiden sekali gus menggulingkan pentadbiran Anwar.

Namun, ia disangkal oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan mengatakan ia hanyalah khabar angin.

Ketika itu, Anwar Ibrahim juga tidak menafikan bahawa terdapat usaha daripada pihak pembangkang untuk menggulingkan pentadbirannya.

Ia selepas beberapa Ahli Parlimen BN didakwa dipujuk individu penting untuk meninggalkan parti serta menjadi sasaran dalam konspirasi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Lebih parah apabila terdapat pula dakwaan bahawa Perdana Menteri akan bertukar pada Julai 2023 selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan memilih Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 itu.

Susulan itu, munculnya dakwaan bahawa kerajaan akan bertukar pada Julai 2023, namun seperti yang dijangka, ia meleset dan secara tiba-tiba dikatakan bertukar kepada September 2023 pula.

Dakwaan kononnya kerajaan akan bertukar itu nampaknya berterusan sehingga penghujung tahun 2023 apabila Anwar dikatakan sudah hilang majoriti penyokong dan akan tumbang bila-bila masa sahaja.

Pada Disember 2023, muncul pula dakwaan mengenai kewujudan gerakan baharu iaitu Langkah Dubai yang dikatakan termasuk dalam usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

BACA LAGI : Ahmad Zahid sahkan Langkah Dubai berlaku, terima maklumat risikan penerbangan individu terlibat

12. Januari 2024

msg1050426791-22045

Rosol pernah mendakwa bahawa kerajaan akan bertukar pada 2024. — Instagram/Rosol

Sekali lagi, tahun 2024 turut menyaksikan kemunculan dakwaan sama apabila Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyatakan keyakinannya bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 2024.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan berkata, ia kerana rakyat dikatakan tidak berpuas hati berhubung pelbagai isu melanda negara terutama melibatkan kos sara hidup serta kenaikan harga barang.

Namun, sehigga kini masih belum ada pengumuman rasmi berhubung pertukaran kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram