[VIDEO] White House cemas angkara kereta misteri


  • Benua
  • Selasa, 09 Jan 2024

Seorang pemandu lelaki ditahan kerana merempuh pintu pagar Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat pada Isnin. — Agensi

SEORANG pemandu ditahan polis selepas didakwa sengaja merempuh pagar luar kediaman Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat pada Isnin.

Pelaku dilaporkan merempuh pintu pagar tersebut sekitar pukul 6 petang namun operasi pembersihan difahamkan sudah selesai dijalankan pihak polis.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden difahamkan tiada di kediamannya ketika kejadian kerana menghadiri sebuah majlis di South Carolina, AS pada awal pagi Isnin dan dijangka tiba di Texas, AS pada petangnya.

Susulan hal itu, laluan trafik di 15th Street dan Pennsylvania Avenue berhampiran Rumah Putih dikatakan sesak, namun sehingga kini pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung status suspek.

Maklumat awal diterima mengatakan suspek merupakan seorang lelaki dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik semakin memuncak, Rumah Putih pantau tentera Serbia di sempadan Kosovo

BACA LAGI: Setiausaha akhbar Rumah Putih positif Covid-19

Untuk rekod, seorang pemandu trak sebelum ini pernah terpalit dalam insiden serupa apabila merempuh penghadang keselamatan di sekitar Dataran Lafayette, AS dari Rumah Putih pada Mei lalu.

Pada 2019, seorang pemandu dilaporkan cuba memecah masuk ke kompleks Rumah Putih menggunakan kenderaan rasmi melalui pintu depan kediaman tersebut.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa kemudiannya membina pagar setinggi 13 kaki yang mana lebih dua kali ganda tinggi daripada binaan asalnya.

Penambahbaikan itu dilakukan susulan beberapa insiden berprofil tinggi melibatkan pencerobohan di Rumah Putih sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram