POLIS mengesahkan dua kenyataan yang ditularkan menerusi media sosial berkenaan akan berlakunya perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tahap keselamatan semasa terkawal, dan sehubungan itu orang ramai dinasihati agar tidak menyebar atau berkongsi lanjut tentang kenyataan itu, menerusi mana-mana platform media sosial.
"Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan kegusaran awam.
"Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang terlibat.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang berniat ingin menimbulkan kegusaran awam,” katanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, tular di media sosial dua kenyataan yang hampir sama mendakwa bakal berlaku satu perhimpunan besar-besaran oleh orang Melayu di ibu negara, bertujuan menumbangkan kerajaan semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram