Tuduhan Zahid arahkan Ahli Parlimen berkumpul di Cameron Highlands tidak betul


  • Politik
  • Ahad, 07 Jan 2024

Dakwaan Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimen BN berkumpul di Cameron Highlands, Pahang bagi menyatakan pendirian sokongan kepada Perdana Menteri dikatakan tidak tepat.

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menangkis dakwaan kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkumpul di Cameron Highlands, Pahang bagi menyatakan pendirian sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Rosdy dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, fitnah dan tuduhan yang dilontarkan seorang penulis blog, Raja Petra sebelum ini sekadar bertujuan untuk mensensasikan lagi isu berkaitan Langkah Dubai.

Katanya, tuduhan tersebut dibuat oleh penulis blog veteren yang kini berada di luar negara kerana takut diambil tindakan atas kesemua fitnah yang dilemparkan olehnya hampir setiap hari.

msg1050426791-21880

Zahid ketika berada di program Jelajah Akar Umbi Presiden Umno di Cameron Highlands pada Sabtu. — Umno Online

"Maka, saya menasihatkan rakyat Malaysia tidak percaya dengan fitnah murahan seperti ini.

"Umno akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menggunakan wewenang baginda untuk mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan.

BACA LAGI : Isham dipecat kerana cemarkan nama baik Umno — Zahid Hamidi

"Fokus dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada negara dan rakyat, bukan bermain politik murahan yang merugikan," katanya.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, kunjungan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno ke Cameron Highlands pada Sabtu adalah sempena lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh pada Oktober 2023.

Tambahnya, hasil daripada lawatan itu, beberapa keputusan mustahak yang menguntungkan rakyat juga telah dilaksanakan.

"Ia kemudiannya disusuli program Jelajah Akar Umbi Presiden Umno bersama Umno Bahagian Cameron Highlands. Program ini dihadiri pimpinan Umno di peringkat negeri dan bahagian," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram