J-KOM perlu berubah, elak dikaitkan dengan Jasa


  • Massa
  • Ahad, 07 Jan 2024

Fungsi J-KOM akan diselaraskan dalam tempoh terdekat supaya dapat disesuaikan dengan tugas seperti dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

NAMA baik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) pada ketika ini tercalar susulan pendedahan mengenai kewujudan rancangan menjatuhkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Langkah Dubai pada ketika ini.

Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop yang mendakwa Langkah Dubai tercetus ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Sebelum itu, J-KOM terpalit dengan kontroversi melibatkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Profesor Dr Mohd Agus Yusof dan pembantu beliau, Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani.

Kedua-dua kontroversi itu bukanlah perkara enak yang mahu didengar rakyat lebih-lebih lagi ia membabitkan sebuah entiti dalam kerajaan Persekutuan.

BACA LAGI: [VIDEO] Luluh hati isteri, suami meninggal dunia gara-gara pemandu bongkak halang laluan ambulans

KAJANG, 20 Nov -- Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Mohammad Agus Yusoff (tengah) hadir bersama peguamnya hari ini untuk memberi keterangan di IPD Kajang susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular dan dilaporkan telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Datuk Mohammad Agus Yusoff (tengah) terpalit kontrovesi susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular dan dilaporkan telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, dengan apa yang berlaku, ada pihak yang berasakan organisasi tersebut menyimpang sedikit daripada tujuan asalnya ditubuhkan.

Mengimbau kembali penubuhan organisasi tersebut, J-KOM yang ditubuhkan pada 1 Februari 2021 selepas dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Jasa sebelum itu ditutup selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kerajaan Persekutuan pada Mei 2018.

Menyingkap kembali sejarah, Jasa dibubarkan sepenuhnya pada 15 Oktober 2018 dengan 300 orang penjawat awamnya diserap ke jabatan dan kementerian lain, sementara kakitangan kontraknya yang kebanyakannya berunsur politik ditamatkan.

Apabila politik bertukar tangan lagi, Jasa yang dulunya ditutup kembali diaktifkan pada April 2020 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

1358473

J-KOM dilihat gagal dalam penyampaian maklumat terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat. — Gambar Hiasan

Kalau dikira sehingga 2018, ia sudah berusia hampir 58 tahun lamanya sejak dimulakan secara rasmi pada 1960. Pada ketika ini, J-KOM ini dilihat memberi imej yang kurang baik dan tidak memberikan kepentingan kepada rakyat.

Pada masa sama, jabatan itu juga dilihat gagal dalam penyampaian maklumat terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat dan saling tak tumpah seperi Jasa yang hanya digunakan untuk kepentingan politik tertentu.

Sehubungan itu, jabatan itu haruslah mengambil langkah drastik membersihkan nama mereka.

Di mata rakyat, J-KOM perlu menjadi sebuah agensi yang boleh menjadi jambatan bagi menghubungkan rakyat dengan kerajaan.

Selain itu, J-KOM haruslah komited mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Ini adalah termasuk dalam menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Terdahulu, media melaporkan, fungsi J-KOM akan diselaraskan dalam tempoh terdekat supaya dapat disesuaikan dengan tugas seperti dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan mengakui fungsi jabatan itu perlu diteliti semula, namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram