Strategi tarik sokongan ahli Parlimen boleh makan tuan, pakar buka kelemahan Akta Lompat Parti


  • Politik
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Dengan peralihan sokongan daripada beberapa ahli Parlimen Pembangkang, kerajaan kini mempunyai sokongan majoriti sebanyak 152 ahli Parlimen. — Gambar hiasan

PADA Selasa lalu, Dewan Rakyat sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman terbaharu peralihan sokongan seorang Ahli Parlimen Pembangkang.

Ia selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal secara terbuka mengumumkan bahawa beliau menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu menyaksikan beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbuat demikian.

Sebelum itu, empat Ahli Parlimen yang terlebih dahulu mengambil langkah sama ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Secara asasnya, perkembangan itu sememangnya merupakan berita baik buat pentadbiran Anwar.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaking during the press conference at Prime Minister’s Office in Putrajaya yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan pengisytiharan tersebut, ia bermakna kerajaan kini mempunyai sokongan majoriti kukuh sebanyak 152 ahli Parlimen.

Jumlah tersebut adalah melebihi 148 sokongan yang diperlukan bagi memperolehi majoriti dua pertiga.

Namun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu memberi amaran kepada Anwar bahawa dengan perkembangan tersebut, ia secara langsung memberi idea kepada pembangkang mengenai cara boleh digunakan bagi menumbangkan kerajaan.

Ini kerana menurutnya, perkembangan itu bermakna Perikatan Nasional (PN) juga kini boleh mendapatkan sokongan ahli Parlimen kerajaan untuk menubuhkan pentadbiran baru.

Ujarnya, dengan cara itu, ahli Parlimen kerajaan juga secara langsung boleh menarik sokongan terhadap Anwar tanpa keluar daripada parti.

"Untuk dirikan kerajaan, PN perlu ada jumlah wakil rakyat lebih 112. Macam mana nak dapat? Sama seperti lima (MP Bersatu) sokong Anwar.

"(Mereka) tak keluar parti (maka) tak digugurkan (sebagai ahli Parlimen).

"Kalau ada ahli Parlimen tak suka kerajaan, katakan dalam 30 orang daripada Umno, Amanah dan PKR tolak Anwar, (ia boleh) membawa kepada kejatuhan Anwar sebagai perdana menteri," katanya.

Mengulas lanjut perkembangan itu, pakar perundangan dan perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan dengan cara tersebut sememangnya dibenarkan di bawah Perlembagaan.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 8.52.13 PM

Pakar perundangan dan perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Katanya, Akta Anti Lompat Parti yang dilaksanakan ketika ini tidak menyebabkan seseorang gugur sebagai Ahli Parlimen hanya disebabkan beralih sokongan.

"Ahli Parlimen yang berpaling sokongan dia kekal sebagai ahli Parlimen selagi mereka tidak umumkan keluar parti," katanya.

Menurut Nik Ahmad, dalam situasi tersebut, ahli Parlimen berhak untuk menyokong sesiapa sahaja untuk menjadi perdana menteri termasuk pemimpin daripada parti lain.

Tambahnya, proses peralihan sokongan dan itu boleh dilakukan sama ada menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen mahupun pengumpulan akuan bersumpah (SD) seperti yang pernah dibuat sebelum ini.

Disebabkan itu, beliau berpandangan, kerajaan seharusnya mempertimbangkan membuat beberapa pindaan terhadap akta tersebut bagi memastikan kestabilan terhadap politik negara.

"Akta lompat parti itu memang jelas banyak kelemahannya. Waktu diluluskan dulu kerajaan ketika itu pun terima keadaan bahawa akta itu memang tidak kuat.

"Jadi kalau nak pinda, pinda juga peruntukan yang mengatakan bahawa sesiapa sahaja menyatakan sokongan kepada parti lain atau parti pembangkang, maka mereka akan hilang kerusi.

"Kalau macam itu, tidak adalah orang berani untuk isytihar (beralih sokongan)," ujar Nik Ahmad yang juga Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN).

WhatsApp Image 2023-11-30 at 8.53.47 PM

Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Sementara itu, seorang lagi pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, meskipun Akta Anti Lompat parti tidak menghalang perbuatan tersebut, itu tidak bermakna ia perlu dilakukan oleh Ahli Parlimen.

"Buat masa skrg, tiada sekatan yang membawa kepada hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika berbuat demikian (beralih sokongan).

"Tapi isunya adakah ada keperluan usul tersebut dibuat pada masa sekarang?" soalnya.

Pada waktu ini, beliau berkata, rakyat berharap semua pihak termasuk ahli Parlimen berganding bahu untuk mengatasi kemelut ekonomi yang masih belum stabil serta mengeluarkan rakyat daripada kesusahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram