DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 'Langkah Dubai' untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan gagal mencapai matlamatnya.
Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan pertemuan yang didakwa berlaku di Dubai dan menyifatkannya sebagai 'membuang masa'.
“Laporan memang ada. Laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka (yang terlibat) ke tempat itu, dan laporan selepas itu kami peroleh, tapi pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, demikian ketika menjawab soalan jika dakwaan Langkah Dubai berlaku seperti dilaporkan baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak mendedahkan mengenai individu yang menghadiri mesyuarat terbabit.
Pada Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat, Datuk Ismail Yusop mendakwa komplot untuk menjatuhkan kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dirancang pemimpin Perikatan Nasional dan beberapa ahli Parlimen penyokong Kerajaan yang sedang sedang bercuti di Emiriah Arab Bersatu.
Menurut Ismail, mesyuarat berlaku semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'ejen' bertanggungjawab mengenal pasti ahli Parlimen yang mungkin mahu menukar sokongan mereka kepada pembangkang.
Beberapa pemimpin Umno sejak itu menolak dakwaan tersebut.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad membuat laporan polis terhadap seorang YouTuber kerana menuduhnya bersekongkol dengan sekumpulan ahli Parlimen di Dubai untuk menggulingkan kerajaan.
Abdul Rahman berkata, beliau mahu membersihkan namanya kerana individu itu cuba mengaitkannya dengan mereka yang terlibat dengan Langkah Dubai.
Terdahulu, Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno berkata, pada masa ini terdapat undang-undang anti lompat terhadap ahli Parlimen yang dipilih daripada bertukar sokongan bagi menukar kerajaan.
Beliau berkata, gerakan seperti yang didakwa itu hanya boleh dilaksanakan jika seluruh parti memutuskan secara berkumpulan untuk menukar taat setia dalam pembentukan kerajaan.
"Tidak boleh ada lagi langkah sedemikian dengan hanya bergantung kepada akuan berkanun," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram