Agih makanan gelandangan di tempat tidak dibenarkan punca kebersihan lokasi tumpuan ibu kota merosot — DBKL


  • Massa
  • Ahad, 31 Dis 2023

Aktiviti pengagihan makanan secara bebas oleh pihak NGO atau individu kepada gelandangan merupakan salah satu punca tahap kebersihan di kawasan terlibat menurun.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggesa semua pihak yang mahu memberikan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur supaya melakukannya hanya di tempat yang ditetapkan.

Menurut DBKL, tindakan pihak terlibat termasuk individu dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat agihan makanan di tempat tidak dibenarkan menjadi antara salah satu punca kepada kemerosotan tahap kebersihan di beberapa lokasi tumpuan kumpulan gelandangan.

"Aktiviti pengagihan makanan secara bebas oleh pihak NGO atau individu kepada gelandangan merupakan salah satu punca tahap kebersihan di kawasan terlibat menurun," menurut kenyataan itu.

Kenyataan terbabit mengulas mengenai laporan Majoriti baru-baru ini mengenai tahap kebersihan yang semakin membimbangkan di kawasan menjadi tumpuan gelandangan khususnya di Lebuh Pudu, iaitu lokasi yang terletak betul-betul di sebelah tempat pelancongan popular di ibu kota, iaitu Pasar Seni.

Pada masa ini, DBKL memaklumkan terdapat dua lokasi disediakan kepada pihak yang ingin mengagihkan makanan iaitu di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

"Oleh itu, DBKL menyeru kepada semua pihak yang ingin memberikan sumbangan makanan agar tidak membuat agihan selain dari lokasi yang telah ditetapkan.

"Ia bagi mengelakkan dari berlakunya pembaziran akibat agihan yang tidak berjadual selain pembuangan sampah merata-rata yang melibatkan bekas-bekas makanan," ujarnya.

2456947

DBKL menyeru kepada semua pihak yang ingin memberikan sumbangan makanan agar tidak membuat agihan selain dari lokasi yang telah ditetapkan.

Menerusi tinjauan selama dua bulan dilakukan Majoriti di sekitar Lebuh Pudu, kawasan tersebut dilihat bukan sahaja sudah dijadikan 'markas' oleh kumpulan tersebut, malah turut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pejalan kaki yang terpaksa menghidu bau hancing di sepanjang laluan tersebut.

Keadaan tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan kumpulan tersebut yang membuang najis mereka secara sesuka hati di sekitar lokasi terbabit.

Dalam kenyataan sama, DBKL turut mengakui bahawa segelintir daripada gelandangan didapati turut menjadikan beberapa lokasi terbuka di sekitar kawasan tersebut untuk membuang najis termasuk di laluan seperti Lorong Bandar 11.

Untuk menangani isu berbangkit berhubung kebersihan di tempat tersebut, DBKL memaklumkan pihaknya sudah menjalankan beberapa tindakan penguatkuasaan.

Antaranya termasuk dengan melaksanakan kegiatan pembersihan harian yang dilakukan Alam Flora dan penambahan tong besar di lokasi bagi menampung peningkatan kapasiti sisa makanan yang terhasil.

2439944

Alat pancuran air yang dipasang di kaki lima sebuah bangunan bagi mengelakkan golongan gelandangan tidur di kawasan tersebut.

"DBKL juga telah mengadakan mesyuarat penyelarasan tindakan bersama pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan isu kebersihan di bandar raya yang disebabkan gelandangan.

"Antara inisiatif akan diambil berkaitan isu ini adalah dengan mengaktifkan semula penggunaan 'water sprinkler', pemasangan spotlight di kawasan gelandangan berkumpul.

Ia termasuk meneliti semula reka bentuk kerusi atau hiasan di sekitar kawasan tumpuan gelandangan dengan meletakkan halangan atau pembahagi yang sesuai bagi mengelakkan gelandangan menyalahgunakan kemudahan tersebut," jelas kenyataan itu lagi.

Tambahnya, pihak DBKL juga turut akan mengadakan rondaan secara berkala bagi memantau aktiviti gelandangan di kawasan tumpuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram