LAMBAKAN gelandangan khususnya di tengah kota Kuala Lumpur dilihat semakin bertambah dengan kumpulan terbabit seperti sudah terbiasa menetap dan tinggal di kawasan kaki lima kedai dan lorong tersembunyi.
Keadaan pada waktu malam di sekitar Lebuh Pudu, Kuala Lumpur misalnya seperti sudah menjadi kelaziman buat golongan itu berkumpul beramai-ramai dan tidur beralaskan kotak terpakai dan tilam bujang.
Lama kelamaan, situasi itu mula menerima pelbagai reaksi masyarakat yang mempersoalkan kewujudan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai 'jelik' dan mencemarkan landskap negara di mata pelancong pada waktu malam.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa golongan itu perlu dilindungi dan dibantu oleh pihak kerajaan atas dasar keprihatinan sesama penduduk di negara ini yang pastinya tidak mengamalkan konsep penindasan dalam kalangan rakyat.
Barisan sukarelawan serta badan bukan kerajaan (NGO) antara pihak yang tampil membela nasib gelandangan di negara ini dan ia diibaratkan sebagai wira buat golongan berkenaan susulan bantuan yang disalurkan kepada mereka.
Gelandangan tidur beralaskan kotak terpakai di sekitar kawasan Kuala Lumpur. — Bernama
Dalam pada itu, kehadiran NGO dilihat masih belum mencukupi untuk membawa penyelesaian terhadap isu terbabit bahkan, ada pihak mula mendakwa ia sebagai layanan istimewa yang tidak wajar diberikan kerana boleh menyebabkan bilangan kumpulan itu semakin bertambah.
Mengulas lanjut berhubung hal itu, pengasas sukarelawan 'Food For Gelandangan', Mohd Azizan Zainal Abidin menggesa agar pihak kerajaan segera campur tangan dalam kerja amal dijalankan oleh pertubuhan NGO sepertinya.
Katanya, kerjasama dua hala antara pihak tertentu akan lebih membuahkan hasil terutamanya dalam menyelesaikan kemelut dan isu gelandangan yang melanda negara sejak berzaman.
BACA JUGA: Mudahnya jadi gelandangan di KL... dalam 30 minit dah dapat 3 pek makanan sedap dan keperluan asas
"Penguatkuasa dan kerajaan perlu tampil dalam operasi yang kami jalankan, imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya antara pihak yang harus turut serta bersama.
"Kalau kata gelandangan terlampau banyak disebabkan golongan PATI ataupun warga asing, jadi imigresen perlu pantau dan tahan mana-mana individu yang didapati bersalah, hantar ke pusat tahanan ataupun ambil tindakan selanjutnya, maka berkurang juga kuantiti mereka.
"Mungkin ada juga pihak yang terkesan dengan kegiatan dadah ataupun bahan terlarang, jadi JKM antara pihak yang boleh memainkan peranan dalam hal ini, kalau dibiarkan maka itu yang menambahkan masalah kepada negara kita.
"JAKIM pun boleh bertugas dari segi kerohanian dan agama, kebanyakan gelandangan di sini rata-ratanya beragama Islam jadi mungkin dengan sedikit kepakaran dari pihak terbabit dapat membantu," katanya kepada Majoriti.
Mohd Azizan Zainal Abidin (dua dari kiri) merupakan pengasas Sukarelawan 'Food For Gelandangan'. — Instagram/Mohd Azizan Zainal
Seperkara lagi yang turut mendapat perhatian Mohd Azizan adalah berhubung pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin mendominasi sektor pembelajaran negara ketika ini.
Katanya, TVET yang mula diperkenalkan oleh kerajaan Madani ketika ini merupakan satu perkara yang bagus dan amat merugikan sekiranya ia tidak dikembangkan kepada golongan gelandangan.
"Gelandangan juga manusia biasa seperti kita, cuma mereka kurang bernasib baik dan tiada tempat tinggal, maka sepatutnya bantuan kemahiran seperti TVET juga turut didedahkan kepada mereka.
"Jangan pernah memandang rendah terhadap kumpulan itu bahkan mereka juga mungkin meminati bidang menjahit, automotif dan sebagainya, tahap akademik yang rendah tidak bermakna mereka tiada masa depan.
"Jadi sepatutnya kerajaan selain daripada menyalurkan bantuan makanan, perlu membina satu pusat khas kemahiran yang efisien untuk membela nasib gelandangan, siapa tahu mereka boleh mengubah nasib dan berkhidmat dengan masyarakat," jelasnya.
Pekerja sukarelawan NGO sedang menyediakan bungkusan pek makanan dan barangan keperluan untuk diserahkan kepada gelandangan. — Majoriti
Sementara itu, Mohd Azizan turut bersetuju sekiranya golongan gelandangan diberikan dokumen diri oleh pihak kerajaan.
Menurutnya, perkara itu bukan sahaja membolehkan pihak berwajib memantau status dan usaha membawa mereka keluar dari kumpulan itu, malah turut mampu memeriksa mereka sama ada benar diberikan bantuan oleh kerajaan ataupun tidak.
"Sistem ini boleh digunakan untuk memantau mereka yang kononnya telah dibantu diberikan peluang kerja sama ada anjuran dari pihak kerajaan ataupun sektor korporat," ujarnya.
Dengan isu gelandangan yang semakin meruncing kebelakangan ini, maka seharusnya badan NGO dan pihak kerajaan bersama berganding bahu dalam membentuk perubahan dasar yang lebih efektif dalam menyelesaikan hal berbangkit.
Nescaya, ia sekali gus mampu mencegah kadar jenayah membabitkan gelandangan dan seterusnya memulihkan pandangan pelancong terhadap Malaysia.
Ikuti siri Laporan Khas: Gelandangan di Kuala Lumpur di portal Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram