Kes godam data PERKESO, siasatan forensik tumpu elemen jenayah komersial


  • Primer
  • Ahad, 10 Dis 2023

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mesyuarat pihaknya dengan MKN bersetuju untuk membuat laporan polis sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada eleman jenayah komersial.

SIASATAN forensik termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang giat dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mesyuarat pihaknya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat laporan polis sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada eleman jenayah komersial.

"Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan kerana PERKESO tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.

Menurutnya, PERKESO akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa dengan panduan daripada MKN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan serta amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi anasir penggodam.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, PERKESO telah mengambil empat langkah utama dalam menghadapi serangan siber yang dikesan bermula sekitar pukul 7 malam, Sabtu lalu.

Beliau berkata, ia merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP), pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) PERKESO, melakukan siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.

"Ketika ini, pihak berkuasa berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil PERKESO, namun tindakan susulan dan berterusan akan terus dilaksana dengan kerjasama rapat pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada masa sama, Mohammed Azman berkata, usaha pasca krisis turut meliputi pengemaskinian kelancaran operasi semua sistem PERKESO demi memastikan kebajikan kira-kira 573,000 penerima faedah yang direkodkan di seluruh negara ketika ini sentiasa terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram