[VIDEO] Air naik cecah tingkat 1, SK Bandar Kota Tinggi ditutup akibat banjir


  • Tular
  • Isnin, 08 Jan 2024

Tangkap layar SK Bandar Kota Tinggi, Johor ditenggelami air banjir pada Isnin.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bandar Kota Tinggi dilaporkan terpaksa ditutup buat sementara waktu selepas ditenggelami banjir pada pagi Isnin.

Berdasarkan perkongsian pengawal keselamatan di sekolah terbabit, air naik mencecah hingga ke paras tingkat satu bilik darjah dan sekali gus memaksa pihak sekolah membatalkan sesi pembelajaran murid.

BACA LAGI: [VIDEO] Lori tersadai, 3 laluan dari JB-Kuantan ditutup akibat banjir

Jelasnya, air sungai masih mengalir dan melimpah keluar sehingga ke pintu masuk sekolah terbabit dan telah menyebabkan hampir keseluruhan kawasan itu ditenggelami banjir.

Rakaman itu dimuat naik di laman Facebook dan tular dalam kalangan warga maya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh menerusi kenyataannya pada Rabu lepas berkata, tiga buah sekolah di daerah terbabit ditutup bermula Isnin susulan bencana banjir.

BACA LAGI: [VIDEO] Tempat tinggal hanyut, bomba selamatkan mangsa banjir terperangkap 4 jam atas pokok di Gua Musang

"Tiga sekolah yang terjejas ialah SK Kampung Maju Jaya, SK Bukit Mutiara dan SK Sungai Tiram, namun setakat ini tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersangkut akibat banjir di negeri terbabit.

"Seramai 48,276 pelajar di negeri itu dijangka menduduki peperiksaan SPM dengan ujian lisan bermula Isnin diikuti ujian bertulis hingga 7 Mac, yang melibatkan 364 jumlah pusat peperiksaan dengan 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan," katanya.

Tambahnya, seramai 8,831 pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang pada 22 Januari hingga 6 Februari, melibatkan 75 jumlah pusat peperiksaan dengan 572 petugas peperiksaan.

Namun, tiada mangsa dilaporkan terjejas dengan kejadian banjir di SK Kota Tinggi setakat ini dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan cuaca buruk yang melanda di negeri terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram