Geng curi Honda EX5 tumpas, polis tahan 3 calon SPM di Pasir Puteh


  • 112
  • Isnin, 08 Jan 2024

Tiga remaja ditahan susulan kegiatan mencuri motosikal jenis Honda EX5 yang dijalankan di Pasir Puteh, Kelantan pada Sabtu. — Ihsan PDRM

TIGA pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan selepas didakwa menjalankan kegiatan mencuri motosikal jenis Honda EX5 di Pasir Puteh, Kelantan pada Sabtu.

Suspek yang berusia 17 tahun itu ditahan bersabit kesalahan mencuri motosikal di daerah Pasir Puteh, Kelantan dan Besut, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes curi motosikal bermula dari Disember 2023 hingga Januari ini dengan menyasarkan motosikal jenis Honda EX5.

BACA LAGI: [VIDEO] Cuba curi motosikal RXZ gagal, 3 lelaki lunyai kena belasah orang awam

"Modus operandi yang digunakan dengan mencuri motosikal yang ditinggalkan di kawasan sawah padi sebelum dileraikan dan mengambil komponen untuk diniagakan.

"Tangkapan yang dijalankan juga telah membawa kepada rampasan empat rangka motosikal yang dijumpai di dalam anak sungai di Pasir Puteh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, hasil semakan yang dijalankan terhadap rangka yang dijumpai mendapati, kesemuanya masih dilaporkan hilang dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru lelaki curi motosikal tak sampai 15 saat di Siburan

Zaizul Rizal berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga remaja tersebut didapati negatif dadah.

"Kesemua mereka juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 7 hingga 10 Januari telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Pasir Puteh untuk siasatan lanjut terhadap kesemua suspek," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram