[VIDEO] Polis buru lelaki curi motosikal tak sampai 15 saat di Siburan


  • 112
  • Khamis, 14 Dis 2023

Suspek yang memakai topi hitam dilihat berkeliaran di sekitar kawasan tersebut sebelum membawa lari motosikal terbabit.

POLIS kini sedang memburu seorang lelaki yang merupakan suspek dalam kejadian curi sebuah motosikal di Siburan, Sarawak, pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada pukul 10.30 malam hari kejadian.

“Pengadu seorang lelaki berumur 40 tahun melaporkan kehilangan motosikal Honda C100B berwarna biru di hadapan sebuah kedai di Pasar Siburan, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jaw Shyong memaklumkan, siasatan polis mengenal pasti suspek sebagai seorang lelaki berumur 40-an dengan ketinggian lebih kurang 160cm.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan awal, termasuk memastikan kenderaan dipasang kunci tambahan.

Ujar Jaw Shyong, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan dimintak untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

Video mengenai kejadian tersebut turut tular di sosial media sejak Khamis yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Berdasarkan klip tersebut, suspek yang memakai topi berwarna hitam dan turut membawa beg sandang dilihat terlebih dahulu berkeliaran di sekitar motosikal tersebut yang diletakkan di kawasan parkir.

Lelaki tersebut bagaimanapun kemudianya bertindak berpatah balik sebelum secara tergesa-gesa melarikan motosikal terbabit.

Suspek juga dilihat mengambil masa tidak sampai 15 saat untuk melakukan kegiatan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram