[VIDEO] Dua 'King' bergaduh atas MEX tak hirau keselamatan pengguna lebuh raya


  • Tular
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tangkap layar video tular itu memaparkan kedua-dua kenderaan itu berhimpit antara satu sama lain sehingga ke lorong paling kanan lebuh raya tersebut.

SEPERTI tidak sayang nyawa sendiri.

Itulah mungkin ungkapan tepat bagi menggambarkan tindakan dua pemandu kereta yang tidak bertanggungjawab apabila membawa kenderaan secara berbahaya dengan menghimpit antara satu sama lain.

Kejadian tersebut yang tular sejak Selasa itu memaparkan insiden membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu secara berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) berdekatan susur keluar ke Seri Kembangan, Selangor.

Menerusi klip berdurasi satu minit 15 saat itu, dua kenderaan tersebut dilihat berhimpit dan mengekori rapat antara satu sama lain sehingga hampir berlanggar sesama sendiri.

Pada masa sama, kedua-duanya turut didapati bergerak dari lorong kiri ke laluan paling kanan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna lain yang turut melalui lebuh raya tersebut termasuk penunggang motosikal.

Berdasarkan klip berkenaan, pemandu lain dilihat terpaksa bergerak perlahan kerana risau terlanggar dengan dua kereta terbabit yang dipandu secara berbahaya.

"Tengah bermain-main, tengah gaduh atas jalan raya. Sorang ke kiri, sorang ke kanan. Cucuk mencucuk," ujar individu merakam insiden berkenaan yang berlanjutan lebih seminit.

Di akhir video tersebut, salah sebuah kenderaan terlibat juga dilihat hampir dihimpit sehingga terkeluar di bahu kiri jalan ke dalam lorong kecemasan.

Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan kemarahan mereka atas sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua pemandu berkenaan yang bertindak mengikut emosi tanpa menghiraukan keselamatan pengguna lain.

"Aku risau penunggang-penunggang motosikal ja. Hangpa dua nak masok longkang pi mampuih laa," tulis AimanAirin2.

"Bukan kome sahaja yang pakai highway tu wei! Nak gaduh pergi tepi," ujar fara_alai_sima.

"King sama king bergaduh, pengguna MEX highway jadi mangsa," kata mohdazim.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram