PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa agar keluarga waris pekerja yang terkorban di sebuah kilang dekat Bandar Mahkota Banting, Selangor pada Rabu tampil membuat laporan di mana-mana cawangan berdekatan.
Ia susulan kes tular membabitkan sebuah syarikat kilang yang didakwa enggan bertanggungjawab atas kematian pekerjanya yang dikatakan terkorban ketika bertugas di kilang tersebut.
Mengulas lanjut hal itu, wakil Perkeso menggesa agar waris si mati tampil membuat laporan segera berhubung hal terbabit.
Katanya, beberapa pampasan dari segi bantuan dan kewangan akan diperoleh oleh waris keluarga mangsa sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
"Individu yang mengenali mangsa ataupun keluarganya perlu segera tampil ke Perkeso untuk mendapatkan pampasan.
"Pihak Perkeso akan bantu sebaik mungkin untuk keluarga mendapatkan pampasan wang sekurang-kurangnya untuk tujuan pengurusan mayat.
"Identiti dan butir diri mangsa amat diperlukan, jadi sesiapa yang mengenalinya sila buat laporan ke Perkeso," katanya kepada Majoriti.
Perkeso sedia membantu keluarga mangsa terkorban untuk mendapatkan pampasan sewajarnya. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, pihak Perkeso turut menekankan beberapa hukuman yang boleh dikenakan kepada majikan syarikat tersebut sekiranya pihak berkenaan terbukti bersalah dan sengaja memperdaya kematian mangsa.
"Jika benar syarikat kilang itu enggan bertanggungjawab dan lepas tangan, hukuman berat akan dikenakan kepada pihak terbabit bergantung kepada kesasihan bukti yang dikemukakan," katanya.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Yuso terkorban ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan terjatuh dari ketinggian 32 meter.
Maklumat awal diterima daripada kenalan mangsa mengatakan, arwah meninggal di lokasi kejadian namun pihak syarikat menyatakan bahawa kematian berlaku di hospital.
Mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan pengangkutan van syarikat dan pihak majikannya didakwa sengaja reka cerita bahawa arwah masih bernyawa ketika dalam perjalanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram