PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kelantan untuk meninjau sendiri situasi banjir negeri berkenaan.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada pukul 12.08 tengah hari.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Hadir sama Ketua Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Dalam tinjauan di Pasir Mas pada Khamis, Perdana Menteri dijadualkan melawat Jambatan Lubok Jong serta dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di Kampung Repek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Lati di Kampung Banggol Manok.
Dalam pada itu, Nadma pada Khamis melaporkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 Pusat Perlindungan Sementara (PPS) di lima daerah, meningkat berbanding 19,423 orang pada pukul 8 malam, Khamis. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram