[VIDEO] Sanggup kahwin 4 nak kuasai tender kerajaan, MyCC dedah modus operandi kartel syarikat


  • Massa
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tangkap layar pendedahan dibuat Iskandar Ismail berhubung modus operandi dijalankan pihak yang ingin merebut tender kerajaan.

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) mendakwa ada pihak sanggup berkahwin empat untuk menubuhkan kartel syarikat bagi menguasai tender kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 500 syarikat dipercayai terlibat dalam kegiatan tipuan bida projek, salah satu bentuk kartel yang mengundang kerugian dana kerajaan.

Katanya, syarikat terbabit berkomplot dengan memasuki tender projek sama dan menentukan pemenang berdasarkan harga yang ditetapkan.

Mendakwa ia sebagai salah satu modus operandi yang dijalankan pihak tertentu, pendedahan itu dibuat menerusi satu sesi temu bual yang dijalankan bersama media tempatan baru-baru ini.

"Macam-macam mereka buat, ada yang kahwin empat supaya boleh bina empayar syarikat, contohnya syarikat A bapa mentua bini nombor satu pegang, manakala syarikat B bapa mentua bini nombor dua dan begitulah seterusnya.

"Mereka boleh cipta satu empayar 50 syarikat masuk sekali satu tender dan monopoli tender yang sepatutnya dibuat untuk mendapatkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga terbaik.

"Tetapi mereka buat satu ilusi bahawa itu yang terbaik, bila menang mereka gantikan dengan orang lain," katanya.

Untuk rekod, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi MyCC sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa lagi kes yang bukan hanya membabitkan kartel, tetapi tipuan bidaan.

Katanya, peranan MyCC pada tahun depan menjadi jauh lebih penting susulan penyasaran semula subsidi dan pelaksanaan tender terbuka yang memberi ruang kepada tipuan bidaan.

Beliau berkata, sekiranya penyasaran semula subsidi dilakukan, harga barang keperluan diapungkan mengikut keadaan pasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram