[VIDEO] Rundingan DBKL temui jalan buntu, penunjuk perasaan 'Kepung Demi Palestin' enggan berundur


  • Massa
  • Rabu, 27 Dis 2023

Sekumpulan penunjuk perasaan 'Kepung Demi Palestin' berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu. — Bernama

RUNDINGAN antara pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penunjuk perasaan 'Kepung Demi Palestin' di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menemui jalan buntu pada awal pagi Rabu.

Sekumpulan pegawai DBKL dilaporkan tiba di tapak perkhemahan sementara yang dibina oleh penunjuk perasaan kira-kira pukul 1 pagi.

Bekas naib presiden PKR, Chua Tian Chang tampil berunding pihak berkenaan dan satu keputusan sepakat telah dicapai di mana salah sebuah khemah akan diturunkan secara sukarela oleh penunjuk perasaan di situ.

Bagaimanapun, pegawai DBKL bertegas bahawa persetujuan itu diingkari dengan kumpulan itu mendakwa perhimpunan itu tidak menghalang lalu lintas dan setakat pukul 2.30 pagi, hanya sebuah khemah telah diturunkan.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menggesa agar semua pihak terlibat bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memelihara keselamatan awam.

Penunjuk perasaan kini berada di luar kedutaan AS sebagai sebahagian daripada perhimpunan aman selama enam hari yang digelar 'Kepung Demi Palestin'.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung piket solidariti itu yang diadakan sejak Selasa susulan penganjurannya dilakukan tanpa permit.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan berkenaan dibuka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, sehingga kini, polis belum memanggil penganjur piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ untuk diambil keterangan kerana menunggu perhimpunan aman itu selesai Ahad ini.

"Para peserta ketika ini masih patuh arahan polis dan mereka tidak menghalang laluan jalan raya di kawasan itu. Selain itu, anggota-anggota polis juga berkawal dan meninjau kawasan itu pada setiap hari selama 24 jam,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan segelintir peserta yang memasang khemah di kawasan itu, Ashari berkata, polis tiada hak untuk merobohkan khemah-khemah itu kerana ia tidak didirikan di hadapan bangunan kedutaan negara berkenaan.

"Khemah-khemah berkenaan dipasang di kawasan siar kaki maka itu di bawah kawalan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk diambil tindakan,” katanya.

Piket itu ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin setakat 24 Disember lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram