[VIDEO] Kecoh tembakan rambang di pusat beli-belah, polis sahkan rupanya bunyi kerusi besi


  • Benua
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tangkap layar pengunjung pusat beli-belah Opry Mills di Nashville, Amerika Syarikat berpusu-pusu melarikan diri sebaik terdengar bunyi tembakan.

SUASANA damai di sebuah pusat beli-belah Opry Mills dekat Nashville, Amerika Syarikat bertukar kecoh apabila orang ramai lari bertempiaran akibat bunyi dipercayai serangan tembakan yang berlaku kira-kira pukul 6 petang Rabu.

Cemas dengan situasi itu, rata-rata pengunjung segera mengosongkan bangunan tersebut sebagai tindak balas terhadap insiden 'tembakan' berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, kejadian itu berpunca akibat pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah premis restoran pusat beli belah terbabit.

Rakaman tular di laman media memaparkan beberapa individu segera menyelamatkan diri dan berpusu-pusu keluar dari pusat beli-belah berkenaan sebelum pasukan polis tiba di lokasi kejadian.

Namun, hasil siasatan dijalankan mendapati bahawa, insiden itu bukan berpunca daripada kesan tembakan seperti yang didakwa.

Sebaliknya, ia berpunca akibat pergaduhan sekumpulan remaja lelaki yang menggunakan kerusi besi di premis terbabit.

Menurut laporan polis, kerusi besi yang digunakan terhentak pada lantai dan dinding sekali gus menyebabkan orang ramai tersalah anggap bahawa ia merupakan bunyi tembakan.

Tiga suspek ditahan kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh sehingga mengundang kekecohan ketika kejadian.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden terbabit dan kerja-kerja pembersihan juga telah dijalankan di pusat beli-belah berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram