SEBUAH syarikat kilang di Bandar Mahkota Banting, Selangor didakwa enggan bertanggungjawab atas kematian pekerjanya yang terkorban dalam insiden dipercayai berlaku pada awal pagi Khamis.
Kejadian itu difahamkan berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Ahmad Yuso sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan sebelum terjatuh dari ketinggian 32 meter akibat kemalangan yang berlaku ketika menjalankan tugas.
Mangsa dikatakan meninggal di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah namun, pihak majikan didakwa telah mengarahkan petugasnya mengalihkan kedudukannya serta-merta dan membawa si mati ke hospital bagi menjaga nama baik syarikat.
Maklumat awal diterima daripada kenalan mangsa mengatakan, arwah meninggal di lokasi kejadian namun pihak syarikat menyatakan bahawa kematian berlaku di hospital.
"Waktu pembersihan arwah tersangkut di belting tertarik dan menyebabkan arwah jatuh sebelum meninggal di tempat kejadian. Pihak kilang enggan bertanggungjawab lalu menyuruh serta memaksa pekerja lain angkat arwah ke tempat lain," dakwanya.
Dalam pada itu, kenalan mangsa turut memaklumkan mangsa yang dikatakan sudah pun berkahwin, sedang menanti cahaya mata sulung dan isterinya sedang sarat mengandung.
Malah lebih menyedihkan apabila mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan pengangkutan van syarikat dan pihak majikannya didakwa sengaja reka cerita bahawa arwah masih bernyawa ketika dalam perjalanan.
"Arwah dihantar guna van putih (bukan ambulans). Harap ada keadilan buat arwah," dakwa rakan mangsa lagi.
Berdasarkan perkongsian salah seorang rakan kerjanya, pihak majikannya telah memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan turut mendedahkan ia merupakan arahan dari pemilik syarikat kilang tersebut.
Sementara itu, seorang lagi kenalan mangsa dikenali sebagai Rafiq memaklumkan selain isteri, arwah juga turut menanggung seorang ibu yang menghidap strok.
Majoriti cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada keluarga mangsa namun masih belum mendapat maklum balas setakat ini.
Dalam pada itu, jurucakap Balai Polis Daerah Kuala Langat mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung hal tersebut.
"Polis maklum tentang hal kejadian dan perkongsian tular di laman Facebook juga sedang dalam pemantauan pegawai penyiasat," katanya kepada Majoriti.
Setakat ini belum ada kenyataan daripada polis berhubung kes itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram