[VIDEO] Polis tahan suspek terjun jambatan lepas tetak wanita sampai mati di Butterworth


  • 112
  • Selasa, 19 Dis 2023

Seorang wanita ditemui mati akibat ditetak dengan sebilah parang oleh suspek lelaki di kawasan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang.

SEORANG wanita meninggal dunia selepas diserang dan ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 11.10 pagi iaitu seorang lelaki tempatan telah menetak seorang wanita di bahagian leher sehingga mengalami kecederaan parah.

"Mangsa yang berusia 42 tahun telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.58 pagi ketika menerima rawatan di hospital, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri wanita tersebut.

"Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik HSJ untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

BACA LAGI: Polis tahan lelaki tikam wanita berkali-kali sampai maut di Klang

Katanya, pasukan polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan terdapat rakaman kamera litar tertutup di kawasan tersebut yang merakam insiden itu serta terdapat juga saksi yang melihat insiden berkenaan.

"Pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Nasrina Darus di talian 04 - 576 2222 (sambungan 2275) bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Asri berkata, suspek iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun itu telah berjaya ditahan polis selepas dia terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang ketika melarikan diri selepas melakukan jenayah tersebut.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.23 pagi memaklumkan ada individu terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan ke lokasi dan sejurus tiba pihaknya menemukan sebuah motosikal jenis SYM dipercayai milik suspek ditinggalkan di bahu jalan di jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, semakan mendapati lelaki itu telah diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan terbabit sebelum kes diserahkan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, satu rakaman video turut tular di media sosial menunjukkan lelaki terbabit cuba terjun sekali lagi dari bot nelayan biarpun dia telah diselamatkan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram