Pembedahan bariatrik ibarat ‘peluang kedua’, mampu cegah penyakit kronik selain isu obesiti


  • Sihat
  • Isnin, 18 Dis 2023

Dato Dr Tikfu Gee merupakan Pakar Bedah Am dan Bariatrik dari iHeal Medical Centre, Kuala Lumpur.

ISU obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia bukan lagi perkara asing dengan kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menyatakan, penduduk di negara ini menduduki tangga pertama tertinggi di Asia Tenggara dengan 15.6 peratus berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lalu.

Data yang diambil berdasarkan laporan Semakan Populasi Dunia itu memberitahu, jumlah tersebut mengatasi Brunei yang mencatatkan 14.1 peratus diikuti Thailand 10 peratus dan Indonesia (6.9 peratus).

Namun, tanpa kita sedari, masalah obesiti boleh menyumbang kepada beberapa penyakit kronik antaranya kencing manis, strok, kerosakan buah pinggang dan kolestrol tinggi.

Sikap segelintir masyarakat di Malaysia khususnya yang terlampau memandang ringan dan enggan mengambil langkah pencegahan dari peringkat awal boleh membawa padah sekiranya ia semakin berlarutan dan sukar diubati.

Antara langkah pencegahan yang paling efektif boleh dilakukan penghidap obesiti adalah menerusi pembedahan bariatrik.

Pembedahan bariatrik merupakan satu prosedur yang bertujuan untuk mengurangkan berat badan bagi individu dengan masalah obesiti.

Ia melibatkan pelbagai jenis pembedahan yang merawat dan mengecilkan saiz perut untuk membantu mengurangkan pengambilan makanan serta penyerapan kalori.

Di samping itu, pembedahan itu turut meninggalkan kesan terhadap pesakit di mana ia dapat membantu mereka mengurangkan selera makan serta menstabilkan paras gula dalam darah selain dapat menggalakkan pembakaran lemak badan.

Berkongsi maklumat tentang hal itu, Pakar Bedah Am dan Bariatrik dari iHeal Medical Centre, Kuala Lumpur, Dato Dr Tikfu Gee menjelaskan bahawa pembedahan bariatrik sangat penting untuk membantu merawat mereka yang menghadapi masalah obesiti melampau.

Katanya, proses pembedahan bariatrik mampu mengatasi isu terbabit khususnya mereka yang berusia antara 18 hingga 65 tahun kerana ia bukan sahaja boleh mengawal selera makan malah, turut merawat pelbagai penyakit kronik.

"Penyakit seperti kencing manis, saraf, strok serta kitaran haid tidak teratur bagi kaum wanita juga boleh diselesaikan menerusi pembedahan bariatrik.

"Ramai yang ingat bahawa hanya mereka yang berbadan besar dan obesiti sahaja memerlukan rawatan ini, tetapi pesakit kronik juga amat digalakkan untuk menjalani pembedahan bariatrik kerana ia berkait rapat dengan sistem pemakanan serta berat badan kita.

"Saiz perut akan dikecilkan untuk menyekat selera serta mengelakkan pesakit daripada terus makan dalam kuantiti yang banyak sekali gus membantu golongan obesiti untuk kekal sihat dan mengalami penurunan berat badan selepas proses rawatan," katanya kepada Majoriti.

tikfu

Dato Dr Tikfu Gee ketika ditemu bual wartawan di iHeal Medical Centre, Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika disoal tentang perbezaan pembedahan plastik dan bariatrik, beliau menegaskan bahawa ia sama sekali berbeza kerana mempunyai tujuan serta keutamaan yang berlainan.

Jelasnya, rawatan bariatrik mementingkan aspek kesihatan berbanding pembedahan plastik yang lebih memfokuskan kepada tujuan kecantikan untuk sementara.

"Bariatrik berperanan untuk menjaga kesihatan orang ramai dan mencegah mereka daripada dijangkiti penyakit berbahaya untuk jangka masa panjang.

"Jika orang ramai hanya menjalani pembedahan plastik, mereka mungkin akan langsing dan kurus namun ia hanya untuk tempoh seketika kerana rawatan yang dijalankan hanya dari segi luaran, berbanding pengecilan usus melalui proses bariatrik, ia bersifat dalaman yang jauh lebih baik untuk kesihatan," katanya.

XJ

patient 2

Antara pesakit yang berjaya mengalami penurunan berat badan selepas menjalani pembedahan bariatrik.

Di akhir perbualan, beliau sempat menyatakan harapan serta pandangannya terhadap fahaman masyarakat Malaysia berkenaan pembedahan bariatrik.

Jelasnya, masih ramai yang mempunyai stigma akan rawatan tersebut kerana tidak mengetahui kesan dan keburukan yang bakal dihadapi sekiranya ia terus diabaikan.

"Kesihatan diri amat penting dan perlu diingati bahawa organ dalaman tiada barang ganti jika ia rosak dan gagal berfungsi di samping sukar dirawat sekiranya individu sudah menghidap penyakit kronik.

"Saya juga mengambil peluang ini agar pihak kerajaan khususnya di hospital awam, memberikan keutamaan sama kepada golongan yang memerlukan pembedahan bariatrik seperti yang diperoleh pesakit kanser.

"Isu obesiti yang kelihatan seperti masalah kecil sangat berbahaya tanpa kita ketahui dan peluang untuk sembuh masih terbuka luas sekiranya pendedahan serta keutamaan diberikan kepada bidang rawatan ini," katanya.

Untuk rekod, Dato Dr Tikfu Gee memperoleh ijazah perubatannya di Universiti Karnataka, India dan selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam Pembedahan di Universiti Malaya.

Beliau meneruskan pengkhususan dalam bidang Pembedahan Invasif Minimum dan Pembedahan Bariatrik di Hospital Diaconnesses Croix Saint-Simon, Paris, Perancis.

Pada 2019, beliau telah dilatih dalam pembedahan gastrousus robotik di Pusat Kanser Yonsei, Korea.

Beliau kini merupakan Perunding Am, Pakar Bedah Bariatrik dan Metabolik di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) dan Pusat Perubatan iHEAL, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram