SUSULAN insiden kematian membabitkan pasangan pengantin di Batu 3, Jalan Bernam, Kuala Selangor menghala Tanjong Karang pada Sabtu lalu, seorang lelaki yang dikatakan cuba membantu mangsa dalam kemalangan itu pula dilaporkan meninggal pada Selasa.
Allahyarham Mohd Azizi Faez Moahamad Alias, 33, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh, Petaling, Selangor kira-kira pukul 4 petang.
Kematian itu dipercayai berpunca selepas dia dirempuh sebuah kereta yang bergerak laju di laluan berkenaan ketika cuba membantu pasangan pengantin terbabit yang tersepit dalam kereta jenis Perodua Bezza di lokasi berkenaan.
Insiden itu sekali gus mengakibatkan kecederaan parah dialaminya sebelum dia disahkan meninggal di hospital Sungai Buloh.
Terdahulu, pasangan pengantin Norsyam Nassullah Rahim, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri akibat kemalangan tersebut.
Pasangan itu dipercayai ke Kuala Lumpur bagi urusan pemulangan baju pengantin yang dipakai semasa majlis akad nikah dan perkahwinan mereka pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian pukul 10.50 malam itu, pasangan pengantin baharu itu menaiki Perodua Bezza sebelum terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain, Nissan Almera dan Honda City.
Menurutnya, mangsa yang memandu Perodua Bezza meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pemandu Honda City yang juga wanita berusia 30-an patah kaki kanan manakala pemandu Nissan Almera berusia 50-an hanya cedera ringan.
"Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza dari arah Klang ke Teluk Intan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.
"Akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan, pada masa sama, Nissan Almera gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aini Hayati kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram