DALAM pada kecaman dan kritikan 'pedas' dihadapi Liridon Krasniqi pada musim ini, khidmat penyerang naturalisasi negara itu masih diperlukan beberapa kelab lain di Liga Malaysia (Liga M) bagi meneruskan cabaran musim depan.
Bakal berstatus 'free agent' pada penghujung tahun ini, pemain itu yang mewakili Terengganu FC secara pinjaman dari kelabnya, Johor Darul Takzim (JDT) dijangka akan meninggalkan pasukannya bagi menimba pengalaman baharu bersama kelab lain.
Tidak dinafikan, persembahannya pada musim ini sedikit meragukan dengan kegagalannya mempamerkan konsistensi dalam permainan, menjadikan namanya antara pemain kontroversi dalam skuad Penyu.
Namun, sikap tidak pernah berputus asa serta pengalamannya beraksi di liga luar negara perlu diberikan kredit untuk dirinya diberikan peluang dalam pasukan yang lebih baik musim depan.
Dua kelab di bawah merupakan antara kelab yang relevan buat Liridon kembali menemukan rentaknya seperti mana yang dipamerkan ketika mewakili Kedah FC pada 2019.
Selangor FC
Gergasi Merah yang dikendalikan Tan Cheng Hoe pastinya antara tarikan utama buat pemain kelahiran Kosovo itu kembali 'berjodoh' dengan bekas jurulatihnya itu.
Bakatnya yang mula dicungkil Cheng Hoe ketika mewakili Sang Kenari pada 2019, telah melonjakkan nama Liridon sehingga dia diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.
Liridon Krasniqi ketika mewakili Kedah FC pada musim 2019. — Facebook/Kedah FC
Tambahan itu, Selangor yang bakal beraksi di peringkat Asia dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim depan, dilihat amat memerlukan pemain berpengalaman itu sebagai 'mesin' di posisi tengah.
Berketinggian 1.92 meter, fizikal tegap dan kental dimiliki menjadikan satu kelebihan buat Selangor mengatasi pasukan lawan yang berkemungkinan bersaiz lebih tegap khususnya dari benua Timur Tengah.
Posisi tengah Selangor yang ketika ini banyak didominasi Brendan Gan, mungkin akan memberikan kelegaan sedikit buat pemain itu apabila Liridon ataupun 'Mat Don' juga mampu memikul tugas selaku perancang di bahagian tengah pasukan.
Perak FC
Sang Seladang di bawah kendalian Yusri Che Lah berjaya mempamerkan kebangkitan selepas berjaya mengelak daripada tergolong dalam tiga pasukan tercorot musim ini.
Meskipun dianggotai ramai pemain muda dan kurang ternama, situasi itu dilihat lebih terbuka dan memberikan kelebihan buat Liridon untuk meraih pengalaman sebanyak mungkin di Perak.
Yusri Che Lah dilantik sebagai pengendali pasukan Perak FC menggantikan Lim Teong Kim pada pertengahan musim 2023. — Facebook/Perak FC
Ia sekali gus dijangka dapat membantu pemain itu mendapatkan kembali sentuhan emasnya seperti dahulu kala dengan minit permainan yang lebih terjamin bersama skuad Seladang.
Ditambah pula dengan pengalaman serta kualiti yang dimiliki sepanjang mewakili JDT serta kelab liga luar di India dan Thailand, mampu dicurahkan kepada barisan pelapis muda Perak yang pastinya amat menagih sentuhan serta tunjuk ajar daripada individu sepertinya.
Untuk rekod, Liridon sebelum ini yang pernah dinobatkan sebagai pemain import terbaik dan pemain paling popular pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 telah bermain bersama kelab Odisha FC di India dan Khon Kaen United (Thailand). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram