[VIDEO] Didakwa angkara khianat, 4 'mat moto' bakar kedai rokok elektronik di Port Dickson


  • Tular
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar insiden kebakaran membabitkan empat penunggang lelaki di sebuah premis rokok eletronik dekat Taman Ria, Port Dickson, Negeri Sembilan.

SEKUMPULAN penunggang lelaki bertindak kejam apabila membakar sebuah kedai rokok elektronik di Taman Ria, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.

Insiden itu terlebih dahulu berlaku apabila dua daripada individu terbabit dirakam menyerbu masuk ke premis berkenaan sebelum menyimbah bahan bakar dipercayai minyak petrol dan menyalakan api ketika kejadian.

Tersentak dengan perkara itu, dua orang awam yang berada dalam kedai berkenaan kemudiannya melarikan diri sebaik api mulai marak.

Kejadian yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan kejadian berkenaan namun identiti pelaku gagal dikenal pasti.

Dalam sebuah video berasingan di luar kawasan premis tersebut, melihatkan keempat-empat penunggang terbabit sedang menunggang laju dan cuba melarikan diri selepas daripada kejadian itu.

Perbuatan itu dipercayai angkara khianat terhadap pemilik perniagaan tersebut namun, masih belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian itu setakat ini.

Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram