[VIDEO] Pelajar di Ipoh maut jadi mangsa langgar lari depan sekolah


  • Tular
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Pihak polis dilihat turut sudah berada di lokasi kejadian kemalangan terbabit yang berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat. — Facebook

SEORANG pelajar lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah (SMK) Jati, di Ipoh, Perak, pada Jumaat.

Menurut maklumat awal daripada orang awam, mangsa yang juga seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima menunggang motosikal sebelum berlanggar dengan kereta terbabit.

BACA LAGI : [VIDEO] Adik dilanggar 2 kali, kami akan tuntut keadilan — kakak Muhammad Zaharif

BACA LAGI : [VIDEO] Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah di Ipoh

Difahamkan, kejadian yang berlaku berhampiran pintu sekolah SMK Jati itu terjadi sekitar pukul 12.30 tengah hari, ketika pelajar tersebut ingin pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Menerusi beberapa foto di lokasi yang dikongsikan, mangsa dilihat meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kini sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan.

"Kita telah dapat laporan daripada beberapa saksi. Pegawai saya akan panggil saksi berkenaan dan buat siasatan lebih lanjut," katanya menurut laporan Bernama.

Mohd Yusri berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk proses pertuduhan.

Beliau berkata mayat pelajar itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh, Perak untuk proses bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram