[VIDEO] Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah di Ipoh


  • 112
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima dilanggar berhampiran SMK Jati di Meru dekat Ipoh, Perak pada Jumaat. — Facebook

SEORANG pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru dekat Ipoh, Perak pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah itu akan direman pada Sabtu untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha, pada pukul 12.40 tengah hari.

"Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI : [VIDEO] Pelajar di Ipoh maut jadi mangsa langgar lari depan sekolah

BACA LAGI : [VIDEO] Adik dilanggar 2 kali, kami akan tuntut keadilan — kakak Muhammad Zaharif

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

"Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebatang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam," katanya.

Yahaya turut meminta orang awam yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Terdahulu, Majoriti melaporkan polis sedang menyiasat kejadian seorang pelajar berusia 17 tahun maut dilanggar lari sebuah kereta berhampiran SMK Jati, Meru.

Pada masa sama, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri turut mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan, dan sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram