[VIDEO] Wanita digilis tayar depan belakang, pemandu pacuan 4 roda tiba-tiba nak masuk stesen minyak di JB


  • Tular
  • Khamis, 14 Dis 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan seorang penunggang wanita digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda di Johor Bahru, Johor.

NASIB malang menimpa seorang penunggang wanita apabila dirempuh dan digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak dekat Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Insiden terbabit tercetus selepas kenderaan itu dilihat secara tiba-tiba membelok kiri untuk ke stesen minyak tersebut.

Perbuatan pemandu yang membelok masuk di laluan susur keluar stesen tersebut telah mengakibatkan penunggang itu terperosok di bawah kenderaan berkenaan.

Tersentak dengan kemalangan itu, beberapa buah kenderaan lain kemudiannya tampil membantu mangsa yang kelihatan lemah akibat rempuhan terbabit.

Wanita berkenaan difahamkan sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Singapura namun status kecederaannya belum dapat dipastikan sehingga kini.

Namun, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu di Johor Bahru dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut.

Ia merupakan insiden kedua berturut-turut melibatkan pemandu pacuan empat roda apabila tular insiden kemalangan membabitkan kenderaan jenis Ford Ranger yang merempuh empat sekeluarga yang menaiki motosikal di Lebuh Raya Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa.

Akibat kejadian itu, kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram