SEORANG pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 457.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan Sungai Buloh, Selangor pada Rabu.
Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu masing-masing adalah sebuah lori bermuatan tiang konkrit, lori kontena, Perodua Myvi, Honda HRV, Honda City dan Nissan Almera.
Bomba yang menerima laporan kejadian pada pukul 9.58 malam menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan menyebabkan pemandu lori membawa muatan tiang konkrit maut di tempat kejadian.
"Mangsa yang berusia 30-an tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.
"Anggota bomba sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayatnya akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ahmad Mukhlis berkata, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta Honda HRV berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan ringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram