"KAMI di pihak keluarga memang akan tuntut keadilan."
Demikian kata kakak kepada pelajar yang maut dalam kejadian perlanggaran bersama membabitkan sebuah kereta berdekatan Sekolah Menengah (SMK) Jati, di Ipoh, Perak, pada Jumaat.
Nur Zetty Muhd Zamrie berkata, dia dan keluarga masih tidak pasti berkenaan dengan motif pemandu berkenaan melanggar motosikal dinaiki adiknya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada saksi di lokasi kejadian, mereka memaklumkan bahawa pemandu tersebut bertindak melanggar adiknya sebanyak dua kali.
"Kami tak tahu dia geram ke dia marah ke saya tak tahu apa motif dia sebenarnya," ujarnya ketika dihubungi Majoriti.
Dalam pada itu, Nur Zetty berkata, keluarganya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dimaklumkan rakan mangsa yang datang ke tempat kedai makan ayahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kemalangan.
BACA LAGI : [VIDEO] Pelajar di Ipoh maut jadi mangsa langgar lari depan sekolah
BACA LAGI : [VIDEO] Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari depan sekolah di Ipoh
Sejurus selepas mendapat maklumat tersebut, dia berkata, ayah dan seorang lagi kakak mangsa yang bekerja sebagai jururawat segera pergi ke tempat kejadian.
Menurut Nur Zetty, ketika ayahnnya tiba di lokasi, adiknya sempat memberitahu ayahnya mengenai kesakitan yang dirasainya akibat perlanggaran tersebut.
"Dia bagitahu dekat abah saya, dia sakit sangat. Kemudian dia cuma cakap dia tak nampak," kata Nur Zetty menceritakan semula mengenai kejadian tersebut.
Kemalangan tersebut berlaku berdekatan SMK Jati, Ipoh, Perak, sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat. — Facebook
Ujarnya, tidak lama selepas itu, adiknya mula tidak sedarkan diri dan usaha kakaknya yang juga seorang jururawat untuk memberikan bantuan pernafasan juga gagal.
Sementara itu, Nur Zetty berkata, arwah adiknnya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik itu sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap motosikal.
"Dia pun rajin tolong kawan-kawan dia dengan betulkan motosikal di rumah," kongsinya.
Sementar, dia turut memaklumkan arwah adiknya turut ada menunjukkan sedikit perubahan sikap dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum pergi.
"Sebelum ini masa pergi sekolah dia jarang salam mak saya, dia hanya akan cakap pergi dulu sahaja.
"Tapi tiba-tiba dua minggu ini dia akan salam mak saya pagi, sambil peluk," ujarnya yang turut tinggal bersama keluarganya di Chepor Sentosa, Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Nur Zetty memaklumkan adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Fairpark, Ipoh Perak, pada Jumaat malam.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kini sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan.
"Kita telah dapat laporan daripada beberapa saksi. Pegawai saya akan panggil saksi berkenaan dan buat siasatan lebih lanjut," katanya menurut laporan Bernama.
Mohd Yusri berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk proses pertuduhan.
Beliau berkata, mayat pelajar itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh, Perak untuk proses bedah siasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram