Kereta terbabas lepas rempuh lori, Adun Kota Siputeh kemalangan di Arau


  • 112
  • Rabu, 13 Dis 2023

Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dipandu ADUN Kota Siputeh, Kedah yang terbabas di Padang Chempa menghala ke Changlun dekat Arau, Perlis. — Majoriti

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Kedah Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 37, terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Padang Chempa menghala ke Changlun dekat Arau, Perlis malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Abdul Mohsin Md Rodi berkata, Mohd Ashraf Mustaqim bagaimanapun hanya mengalami luka ringan pada bahagian mulut dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 malam itu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kangar.

Abdul Mohsin berkata, insiden itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua dipandu Adun itu tidak sempat mengelak lori berkenaan yang diparkir di kaki lima jalan dalam keadaan melintang dan melanggar kenderaan tersebut.

"Akibat daripada perlanggaran di bahagian sisi kiri belakang lori tersebut, kereta berkenaan telah terbabas masuk ke dalam longkang denai di kaki lima jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 66 tahun itu tidak mengalami kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram