[VIDEO] Pemandu Saga acah samseng, cekik, tumbuk dada rider lepas berlanggar di lampu trafik


  • Tular
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan seorang pemandu dan penunggang p-hailing di sebuah jalan raya di ibu negara pada Ahad.

SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengasari penunggang p-hailing dipercayai akibat perlanggaran di sebuah jalan raya berhampiran lampu trafik di Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam satu video tular di laman media memaparkan individu itu sedang mencekik penunggang terbabit sambil cuba ditenangkan orang ramai.

Gagal mengawal kemarahan, lelaki bertopi biru itu kemudiannya menendang motosikal dan menumbuk dada penunggang tersebut yang sekali gus mengundang perhatian ramai.

Dirakamkan menerusi telefon pintar, video berdurasi seminit 23 saat itu meraih lebih 50,000 jumlah tontonan setakat ini.

Meskipun disaksikan beberapa lagi individu penghantar makanan, insiden tersebut tidak dihentikan sesiapa dan rata-rata warganet menggesa agar polis menjalankan siasatan berhubung kelakuan ganas tersebut.

"Memang biadab, acah samseng lepas itu nak pukul rider macam itu sekali, polis dapat berita sekejap je kena tahan lelaki itu," kata Safiq Musa.

"Teruk sangat ke berlanggar sampai bertumbuk macam itu, benda boleh bincang tak perlu pakai tangan nak tunjuk kuat depan ramai," ujar Mohd Firas.

"Zaman sekarang benda cepat tular, esok lusa polis sampai depan pintu, kau tunggu je bang jangan seronok sangat lepas dah pukul rider," tambah Firdaus Rahidan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pukul yang berlaku di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, Klang pada Ahad.

Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat.

Menurut Hoong Fong, pihaknya menerima laporan daripada pengadu, warga tempatan berusia 21 tahun pada 12.44 tengah malam Isnin mendakwa ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

''Pengadu mendakwa salah seorang lelaki berkenaan bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya.

"Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian sekitar 7.15 malam, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggar mangsa.

"Pemandu kenderaan itu kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. Salah seorang daripada lelaki berkenaan kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dari motosikal serta mencekik, menumbuk muka serta menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali.

"Sebelum beredar, suspek turut menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada 'cover set'. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak pada bibir, tulung rusuk dan kaki," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, usaha mengesan suspek giat dijalankan untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Orang awam dinasihatkan agar mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa memandu agar keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram