SEORANG penunggang motosikal dilaporkan maut dalam satu insiden pelanggaran dengan sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.
Menurut laporan awal diterima, kejadian itu disedari pengendali tren tersebut yang memberhentikan perjalanan dan mengundur untuk memeriksa keadaan mangsa.
Penunggang lelaki itu dikatakan tercampak ke sebelah kanan tepi landasan kereta api tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian.
Rakaman insiden tersebut dikongsikan di laman media dan hangat diperkatakan warganet.
Tren tersebut yang dinaiki 200 orang penumpang difahamkan terpaksa dihentikan seketika sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Di ruangan komen, rata-ratanya mengesahkan insiden kematian tersebut dan mangsa difahamkan merupakan penduduk di kampung Pondok Hidayah, Machang, Kelantan.
Identiti mangsa juga belum dapat dipastikan.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram