[VIDEO] Padah lumba haram, sekumpulan penunggang tercampak, 'bersepai' lepas berlanggar sesama sendiri di Segamat


  • Tular
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar kemalangan melibatkan sekumpulan penunggang motosikal di jalan raya dari arah Segamat menghala ke Labis, Johor pada Ahad.

SEKUMPULAN penunggang motosikal lelaki dirakam kemalangan dalam satu insiden berlaku di laluan jalan raya dari arah Segamat menghala ke Labis, Johor pada Ahad.

Ketika kejadian, tiga individu terlebih dahulu dilihat menunggang laju di kawasan berkenaan sebelum berlanggar dengan seorang penunggang dipercayai rakannya yang berada di lorong kiri laluan terbabit.

Gagal menekan brek dan hilang kawalan, kesemua mereka kemudiannya terbabas dan tercampak akibat perlanggaran tersebut.

Dirakamkan menerusi kamera dashcam, pemandu yang menyaksikan kejadian itu sempat mengelak dan memperlahankan kenderaan untuk melihat keadaan mangsa.

Turut disaksikan beberapa lagi kumpulan penunggang yang berada di laluan berkenaan, sebahagian daripadanya mula menghidupkan lampu isyarat kecemasan untuk menghalang kenderaan melalui jalan tersebut.

Beberapa barangan seperti topi keledar dan peralatan motosikal kelihatan bersepah atas jalan raya dipercayai berpunca akibat kemalangan terbabit.

Namun, situasi mangsa belum dapat dipastikan buat masa sekarang dengan pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut setakat ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram