Lupakan polemik logo, 4 tema kemerdekaan pastinya paling diingat rakyat


  • Massa
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Antara logo tema yang diperkenalkan kerajaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

KURANG lagi dua minggu rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66.

Pastinya, ramai yang sudah tidak sabar dan enggan melepaskan peluang untuk menyertai sambutan kemerdekaan, apatah lagi ia disambut dengan begitu meriah di seluruh negara pada tahun lalu.

Malah, kerajaan juga telah mengumumkan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Tema HKHM 2023 yang dilancarkan pada 27 Mei lalu itu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

Bagaimanapun, dalam keterujaan menyambut hari ulang tahun kelahiran Malaysia, muncul pula usaha segelintir pihak yang didakwa cuba 'memporak-perandakan' perpaduan penduduk di negara ini.

Ia susulan cadangan daripada Perikatan Nasional (PN) yang mahukan empat negeri di bawah pentadbirannya menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, untuk memperingati gabungan parti itu di peringkat negeri.

Difahamkan, negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN pada Sabtu, iaitu 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Tindakan itu mendapat pertikaian banyak pihak, termasuk Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang yang menyifatkan sambutan kemerdekaan adalah satu perayaan yang bersifat nasional.

Justeru, beliau menegaskan bahawa logo dan tema yang ditetapkan akan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun perlu diingat, tidak semua perkara perlu dipolitikkan. Sebaiknya kita lupakan sebentar polemik logo dan mengenang kembali empat tema kemerdekaan yang paling diingati rakyat Malaysia.

1. Wawasan 2020 (1991)

Wawasan 2020

Logo Wawasan 2020

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan tema Wawasan 2020 sebagai logo Hari Kebangsaan 1991 sewaktu merangka Rancangan Malaysia Keenam pada 28 Februari 1991.

Tema itu dipilih dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Sepenuhnya bermaksud tidak hanya membangun dari segi ekonomi, tetapi juga turut meliputi bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan nasional dan sosial.

Anak panah yang terdiri daripada jalur merah, biru, putih dan kuning melambangkan azam dan tekad rakyat Malaysia yang bersatu padu menyokong usaha ke arah menjadikan negara ini sebuah negara maju.

Bentuk segi tiga berwarna merah mencerminkan sokongan rakyat untuk melipatgandakan daya usaha pengeluaran agar tercapai hasrat tersebut.

Bulatan biru, putih dan merah melambangkan perancangan dan pengawalan terakhir iaitu yang berteraskan nilai-nilai luhur dan murni dalam usaha mencapai wawasan 2020 (dua puluh dua puluh) itu.

2. Keranamu Malaysia (2002 - 2006)

WhatsApp Image 2023-08-21 at 00.06.44

Logo Keranamu Malaysia

Keranamu Malaysia merupakan salah satu Tema Kemerdekaan Malaysia yang digunakan bermula dari tahun 2000 sehingga 2006.

Lagu Keranamu Malaysia, ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan lirik oleh anggota kumpulan Kopratasa, Syed Indera Syed Omar (Siso) juga masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.

Irama itu antara lagu 'wajib' didendangkan saban tahun, sama ada di corong radio, televisyen, malah di setiap perhimpunan pagi anak-anak di sekolah menjelang bulan kemerdekaan.

Bulatan berwarna biru dan bulan bintang berwarna kuning menggambarkan sebuah negara yang mempunyai 14 negeri dengan Islam adalah agama rasmi, namun rakyat masih bebas mengamalkan agama lain kerana mahu semuanya hidup dalam keadaan aman, makmur dan bersatu padu.

Warna merah, kuning dan putih berbentuk objek, melambangkan tiga kaum utama di Malaysia iaitu bumiputera, Cina dan India bersama-sama menadah tangan tanda bersyukur, rasa terhutang budi dan bangga mengecapi kemajuan dan kemakmuran di bumi bertuah ini.

Seterusnya rakyat turut bertekad untuk meneruskan kecemerlangan ini pada masa akan datang yang digambarkan melalui pegangan tangan yang meruncing dan menghasilkan bentuk 'V' membawa maksud visi atau wawasan.

3. 1Malaysia (2009 - 2011)

1Malaysia

Logo 1Malaysia

1Malaysia ialah satu gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Najib Razak pada 2 April 2009.

Sebut sahaja 1Malaysia, pasti kita sudah membayangkan laungan daripada Najib sambil disertai dengan isyarat jari telunjuk ditunjukkan ke arah langit.

Intipati gagasan itu adalah satu idea untuk menyatukan semua bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Logo 1Malaysia berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia bahagian bawahnya.

Logo tersebut melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cinta akan negara dengan berpandukan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Selain itu, ia turut mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu negara bangsa.

4. Janji ditepati (2012)

Janji ditepati

Logo Janji ditepati

Logo Tema Kemerdekaan Malaysia Janji Ditepati terpalit dengan beberapa kontroversi melibatkan penghasilan reka bentuknya.

Janji Ditepati memaparkan gabungan logo 1Malaysia, bendera Malaysia dan tulisan '55 Merdeka Janji Ditepati'.

Penghasilan rekaan tersebut mendapat kritikan banyak pihak yang menyifatkan ia hanya dibuat dengan ala kadar dan tidak mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi.

Malah, reka bentuk logo yang tidak mencerminkan kemajuan negara beserta tema kemerdekaan yang tidak ada kena-mengena dengan sambutan kemerdekaan dikatakan telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia.

Namun, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim tampil menjelaskan bahawa tiada logo rasmi yang digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, melainkan logo 1Malaysia, sepertimana sambutan pada tahun sebelumnya.

Sambutan Hari Kemerdekaan ketika itu menggunakan tema '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram