DALAM sejarah bola sepak negara, Piala FA bukanlah sesuatu yang asing buat pasukan seperti Kuala Lumpur (KL) City FC.
Malah, skuad Warga Kota itu merupakan skuad keempat paling banyak pernah merangkul piala dalam tersebut iaitu sebanyak tiga kali.
Hanya dua pasukan yang berada di atas KL City FC dalam sejarah pencapaian menjuarai kejohanan tersebut iaitu Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masing-masing memenanginya sebanyak lima kali.
Dengan berbekalkan semangat tersebut, legenda bola sepak Kuala Lumpur, See Kim Seng berkata, anak buah Bojan Hodak seharusnya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk mencipta sejarah baharu buat pasukan The City Boys ketika aksi final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) Sabtu ini.
"Itulah, harapan supaya pasukan KL dapat cipta sejarah sekali lagi," katanya yang merupakan antara pemain utama skuad KL yang memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.
Perlawanan Akhir Piala FA 2023 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
KL City FC berjaya melayakkan diri ke final Piala FA 2023 selepas menewaskan Terengganu FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di SSSMZA di Kuala Nerus pada 25 Jun lalu. — KL City FC
Kim Seng yang juga pernah menyarung jersi kebangsaan itu bagaimanapun berkata, pasukan KL City FC perlu mengingatkan dirinya bahawa mereka bakal menentang JDT, iaitu pasukan yang disifatkan memiliki skuad terbaik di Malaysia.
"Jangan lupa JDT pun pasukan yang baik. Jadi mesti tunjukkan tunjukkan satu permainan yang bagus supaya pada masa sama dapat naikkan taraf bola sepak Malaysia," ujarnya dalam temu bual Jejak Legenda bersama Malaysia Football League.
Dalam pada itu, Kim Seng mengakui meskipun Kuala Lumpur merupakan antara pasukan terkuat ketika zamannya, perjalanan skuad Warga Kota untuk merangkul kejuaraan Piala FA tidak semudah seperti yang disangka.
Katanya, ini kerana percubaan pertamanya bagi memenangi Piala FA pada 1992 gagal apabila tewas 1-2 di tangan Sarawak FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sarawak di Kuching, Sarawak.
"Adat main ada yang menang ada yang kalah. Jadi waktu itu memang kecewa. Tapi itulah nasib yang mungkin tak menyebelahi kita," katanya yang bermain di posisi pertahanan.
Di sebalik kekalahan yang ditanggung pada tahun itu, Kuala Lumpur mampu kembali bangkit dan menjuarai Piala FA dalam tahun seterusnya apabila menewaskan Sabah dalam 2-1 ketika aksi final di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Kim Seng bergambar bersama piala yang dimenanginya dalam kariernya sebagai pemain bola sepak negara. — MFL
Tidak cukup dengan itu, skuad Warga Kota turut berjaya mempertahankan piala tersebut untuk dua tahun berturut-turut pada 1994 dengan menewaskan pasukan sama iaitu Sabah FC 3-1 di venue yang sama dalam perlawanan akhir.
Kali terakhir kelab Bola Sepak Kuala Lumpur menjuarai Piala FA adalah pada 1999 yang menyaksikan menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti 5-3 selepas perlawanan berakhir 0-0 dalam waktu sebenar permainan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.
Tahun tersebut juga merupakan kali terakhir Kuala Lumpur layak ke final Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram