Selain 'The 1975', 5 kes panas artis luar negara pernah terpalit di Malaysia


  • Massa
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Kumpulan The 1975 mencetuskan aksi melampau apabila penyanyinya, Matty Healy mencium gitaris kumpulan ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

MASYARAKAT Malaysia sememangnya mengalu-alukan kedatangan artis antarabangsa untuk mengadakan konsert ataupun pertunjukan di negara ini dengan golongan terbabit memiliki ramai peminat serta sokongan yang sentiasa mengekori perkembangan mereka.

'Ibarat bulan jatuh ke riba', kunjungan mereka ke Malaysia disambut meriah oleh segelintir peminat yang sanggup berhabis wang ringgit untuk melihat aksi ataupun persembahan mereka di depan mata.

Namun, kehadiran selebriti luar di negara ini ada masanya tidaklah seindah seperti yang dijangka.

Ada di antara mereka yang mencetuskan isu hangat dalam negara dengan kelakuan serta tindak-tanduk yang menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini selain ada yang dicetuskan sendiri oleh peminat tegar artis berkenaan.

Berikut merupakan lima kes kontroversi hangat yang pernah tercetus melibatkan golongan artis luar negara di Malaysia.

1. The 1975

Kumpulan The 1975 didakwa membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), penyanyinya, Matty Healy juga turut mencium seorang lelaki ketika menjalankan konsert tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah memanggil pihak penganjur festival terbabit dan mengarahkan pembatalan serta-merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung Sabtu sehingga Ahad, 23 Julai.

Jelasnya, kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara namun jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.

selena

2. JAIS anjur solat hajat larang konsert Selena Gomez

Pada 2016, Malaysia dikejutkan dengan kehadiran artis terkemuka antarabangsa iaitu Selena Gomez yang mengadakan konsert di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Selangor.

Namun, menjelang beberapa hari acara itu dimulakan, timbul beberapa dakwaan mengatakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan kepada seluruh masjid dan surau di Selangor bagi mengadakan solat hajat memohon konsert penyanyi tersebut dibatalkan.

Ia susulan imej seksi digayakan yang dikatakan boleh mempengaruhi remaja ke arah tidak bermoral di negara ini.

Namun, bekas pengarahnya, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan berkata, sebarang pembatalan terhadap konsert artis popular antarabangsa itu tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan jabatan itu.

Kenyataan Haris itu ternyata bercanggah dengan satu kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang sebelum ini yang meminta semua masjid dan surau di negeri terbabit mengadakan solat hajat.

Kenyataan itu, antara lain menyebut umat Islam tidak reda dan merestui segala bentuk hiburan yang melampau, termasuklah konsert Selena Gomez yang akan mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

yujng

3. Upacara memperingati kematian mendiang artis K-Pop

Penangan artis ataupun penyanyi dari Korea Selatan sememangnya digilai oleh segenap bilangan masyarakat di Malaysia.

Jika dua kes terdahulu menyaksikan isu berkaitan konsert artis di Malaysia, namun ada juga kes yang lebih merisaukan kelompok agamawan di negara ini apabila ratusan peminat mengadakan satu majlis penghormatan atas kematian vokalis kumpulan Shinee, Kim Jong-hyun yang difahamkan mati bunuh diri pada 18 Disember 2017.

Dalam peristiwa tersebut, peminat yang kebanyakannya dari kawasan Lembah Klang tidak kira bangsa dilihat meratapi sambil memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang selebriti Korea tersebut.

Mereka yang terlibat tidak hadir dengan tangan kosong sebaliknya membawa beberapa barang peringatan seperti lilin, bunga, belon dan potretnya ketika upacara memperingati itu berlangsung.

jayy

4. Jay Chou dikecam penyokong Harimau Malaya

Peminat skuad kebangsaan pada Januari lalu menerima tamparan hebat apabila tempat duduk untuk menyaksikan perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dilaporkan 'hilang' akibat struktur pentas konsert Jay Chou.

Kira-kira 21,000 kerusi tempat duduk penonton difahamkan tergadai dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 tersebut yang sekali gus mengundang kemarahan warganet terhadap penyanyi terkenal Taiwan tersebut.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan daripada 80,000 kapasiti, hanya 59,000 tiket akan ditawarkan kerana 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan gara-gara kerana dihalang oleh struktur pentas konsert individu berkenaan yang berlangsung pada 15 Januari 2022.

mjj

5. Kerajaan Selangor tak beri permit konsert Michael Jackson

Raja pop dunia, mendiang Michael Jackson pernah membuat siri jelajah persembahannya di Malaysia pada 1996.

Konsert 'History World Tour 96' yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor, bagaimanapun terpaksa dipindahkan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur selepas kerajaan negeri Selangor bertindak membatalkan konsert tersebut dengan menarik balik permit persembahannya.

Dalam erti kata lain, Selangor mengharamkan konsert Michael Jackson yang disifatkan bertentangan dengan nilai masyarakat tempatan di negara ini.

Menurut Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, hanya artis yang membawa imej baik dibenarkan membuat persembahan di Stadium Shah Alam.

Memandangkan jumlah jangkaan penonton yang melebihi kapasiti Stadium Merdeka, maka konsert itu telah ditambah sehari lagi, iaitu pada 29 Oktober 1996. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram