SELEPAS tidak dianjurkan untuk 10 tahun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk kembali menganjurkan Pestabola Merdeka.
Kejohanan yang bakal berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober itu bakal diadakan dengan format kalah mati seperti mana yang sering diguna pakai sejak beberapa edisi sebelum ini.
Berdasarkan pengumuman badan induk bola sepak negara itu, kesemua perlawanan akan dijalankan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang sedang dalam proses menaik taraf.
Kemeriahan sememangnya dapat dirasai dalam kalangan penyokong bola sepak negara memandangkan Pestabola Merdeka boleh dilabel sebagai persiapan terakhir skuad kebangsaan sebelum aksi Piala Asia awal tahun depan.
Selain itu, pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan juga bukanlah mereka yang boleh dipandang rendah dengan Lubnan, India dan Palestin sudah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Undian untuk aksi Pestabola Merdeka mula diraikan penyokong bola sepak negara. — Facebook/FAM
Kedudukan mereka yang berada lebih tinggi berbanding skuad Harimau Malaya pastinya akan menyajikan satu cabaran untuk menguji kemampuan pasukan ketika ini.
Keterujaan itu semakin dirasai apabila pada Selasa, pasukan negara disahkan bakal berdepan India untuk aksi pembukaan yang akan berlangsung pada 13 Oktober.
Pertembungan tersebut dilihat cukup menarik memandangkan kedua-dua pasukan jauh dipisahkan dalam ranking FIFA di samping jarang berdepan antara satu sama lain ketika aksi persahabatan.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, penyokong seperti sudah tidak dapat menahan keghairahan mereka untuk menyaksikan pertembungan antara India dan skuad Harimau Malaya.
Menurut VEshirt Visi, perlawanan itu akan menjadi platform terbaik buat Pan-gon untuk menilai kebolehan anak-anak buahnya ketika berdepan pasukan lebih berkualiti.

Pasukan negara mencatatkan kemenangan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu. — Agensi
"Apa yang ingin dilihat adalah KPG perlu menurunkan skuad terbaik yang mana dibari pemain khusus untuk skuad Asia. Ini masanya skuad negara mendapatkan keputusan yang baik.
"Memperolehi momentum, motivasi yang cemerlang sebagai pemangkin semangat untuk hadapi Piala Asia nanti, sekadar pendapat sahaja," katanya.
Bagi Lan Atos pula, kesemua pasukan yang menyertai Pestabola Merdeka kali ini adalah cukup berkualiti untuk menguji kebolehan sebenar skuad kebangsaan.
"Kali ini, semua peserta cukup mantap, pasukan negara pun kena lagi mantap untuk jadi juara. Inilah cabaran sebenar sebelum Piala Asia," ujarnya.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2011 yang menyaksikan Harimau Malaya menang dengan keputusan 3-2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
