Imbau semula 3 legenda bola sepak selamanya pergi pada 2023


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Sathianathan pernah membawa beberapa kejayaan buat Harimau Malaya sepanjang kariernya.

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan situasi kehilangan beberapa pemain legenda bola sepak negara yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Pemergian insan-insan tersebut pastinya ditangisi oleh ribuan peminat sukan bola sepak tanah air.

Berita kehilangan mereka merupakan satu kehilangan besar buat industri bola sepak negara kerana begitu banyak ilmu dan khidmat bakti yang ditaburkan oleh mereka dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

Meskipun pemain bola sepak negara ketika ini boleh dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan, tetapi generasi kini diharapkan tidak sesekali melupakan jasa figura yang banyak menyumbang pada sukan tanah air yang membawa nama Malaysia ke mata dunia.

Berikut Majoriti senaraikan tiga legenda bola sepak tempatan yang menemui ajal mereka pada tahun ini :

1. B Sathianathan

Kali terakhir Sathianathan terlibat aktif dalam dunia bola sepak adalah ketika menjadi ketua jurulatih Sarawak United.

Bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan disahkan meninggal dunia pada 18 Julai lalu pada usia 65 tahun selepas setahun bertarung dengan penyakit kanser.

Perkara itu pastinya mengejutkan ramai pihak memandangkan pengendali tersebut pernah membawa beberapa kejayaan buat Harimau Malaya sepanjang kariernya.

Tidak cukup dengan itu, mendiang juga pernah terlibat dalam dunia liga bola sepak tempatan dengan Sarawak United merupakan pasukan terakhir dikendalikannya.

Pada Jun tahun lalu, jurulatih kelahiran Ipoh, Perak itu terpaksa berehat daripada bidang kejurulatihan akibat masalah kesihatan, namun enggan mendedahkannya kepada orang ramai.

2. Bobby Chua

Bobby Chua dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik.

Legenda bola sepak Sabah dan Sarawak era 90-an, Bobby Chua Abdullah dilaporkan meninggal dunia pada 14 Mac lalu kira-kira pukul 2.25 petang.

Jenazah dibawa ke Surau Al Mustafa V19, KKIP Barat Sepanggar dan dikebumikan di Tanah Pengebumian Waqaf Kampung Kota, berhadapan dengan Masjid Kota Tuaran, Sabah.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS) yang menyebabkan dia mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik.

Penyakit tersebut menyebabkan kedua-dua tangannya semakin lemah, selain hilang berat badan dan perlu disuap oleh isterinya untuk makan.

Bobby yang memeluk Islam pada 2014, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak.

3. Azhar Shariff

Azhar Shariff meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 4.30 pagi, pada 6 April 2023.

Legenda Selangor dan bekas bintang tengah bola sepak negara, Azhar Shariff meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor sekitar pukul 4.30 pagi, pada 6 April tahun ini.

Azhar yang dirawat di Hospital Selayang sebelum itu pernah ‘ditidurkan’ oleh doktor yang merawatnya.

Azhar yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an dan pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.

Malah, Allahyarham juga pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis berjaya membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun 1986.

Azhar juga adalah rakan sepasukan mendiang R Arumugam, Zainal Abidin Hassan, Zapril Hashim, Khang Hung Meng, Datuk Lim Teong Kim dan Zainal Nordin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram