Elak bertembung dengan Palestin, Lubnan tarik diri sertai Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Lubnan yang sepatutnya menyertai Pestabola Merdeka 2023 menarik diri pada saat akhir kerana tidak mahu bertemu Palestin. — Facebook/FAM

KEJOHANAN Pestabola Merdeka edisi 2023 bakal mengalami perubahan kecil dari segi pasukan yang bertanding selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Lubnan kini menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, Lubnan memilih untuk menarik diri daripada Pestabola Merdeka atas faktor keberadaan Palestin yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Menurut Azman, pihak FA Lubnan telah menghantar surat kepada FAM pada 14 Ogos yang lalu menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada Pestabola Merdeka atas faktor mereka diundi bersama-sama Palestin dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Untuk rekod, Lubnan dan Palestin diletakkan dalam kumpulan I bersama-sama Australia dan pemenang peringkat play-off antara Maldives dan Bangladesh.

"FAM telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) pada Isnin, 14 Ogos 2023 menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lubnan dan Palestin telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini," kata Azman dalam kenyataan rasmi dikeluarkan FAM.

Oleh itu, pihak FAM yang menerima penarikan diri tersebut terus mencari lawan baharu bagi menggantikan Lubnan supaya kejohanan empat penjuru itu tetap dapat dijalankan seperti biasa.

Selepas melakukan pencarian pengganti, FAM berhasil mendapatkan Tajikistan sebagai lawan baharu yang akan melengkapkan empat pasukan bertanding di Pestabola Merdeka bersama-sama Malaysia, India dan Palestin.

Tindakan pantas FAM mencari lawan baharu harus dipuji kerana dalam masa sehari sahaja mereka berjaya mendapatkan penyertaan Tajikistan dengan pasukan di ranking ke-110 dunia itu mengesahkan kehadiran ke Kuala Lumpur pada 15 Ogos (Selasa).

"FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas," ujar Azman lagi.

Pestabola Merdeka akan diadakan pada 13 dan 17 Oktober dengan FAM tiada undian semula akan dilakukan. Ini bermaksud, Tajikistan akan terus menggantikan Lubnan sebagai lawan kepada Palestin sementara Malaysia akan menentang India. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram